PETALING JAYA: “Sedihnya dengar Ardell dilayan dengan teruk oleh Israel.”
Demikian luahan pelakon, Elfira Loy yang bersimpati dengan nasib aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana yang menjadi mangsa keganasan rejim zionis sepanjang dalam tahanan tempoh hari.
Bagai tercarik hatinya melihat rakan seperjuangannya dilayan sekejam itu, Elfira turut berharap agar Ardell segara pulih daripada trauma akibat diseksa tentera Israel ketika menjalankan misi Global Sumud Flotilla (GSF).
“Ardell kena tumbuk kat muka, bahu koyak dan sekarang dia berada di hospital. Ya Allah angkatlah kesakitan yang dia alami selama ini.
“Pulihkan hatinya dari trauma kekejaman Israel,” katanya di Threads.
Tersentuh dengan keprihatinan pelakon itu, suami kepada Ardell, Nadzmi Adhwa turut menzahirkan ucapan terima kasih atas doa buat isterinya.
“El terima kasih doakan,” balasnya ringkas.
Sebelum ini, Ardell antara 23 aktivis GSF yang ditahan oleh rejim zionis dikhabarkan sedang menerima rawatan di hospital usai tiba di Istanbul.
Difahamkan, aktivis itu mengalami kecederaan pada bahagian muka akibat ditumbuk dan tisu bahunya terkoyak akibat dilayan kasar oleh Israel.
Kesemua aktivis yang ditahan dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.