Pernah alami kejadian mistik, sampai sekarang saya tiada jawapan - Farahdhiya

Pernah alami kejadian mistik, sampai sekarang saya tiada jawapan – Farahdhiya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Farahdhiya mendedahkan pengalaman mistik yang pernah dialaminya ketika menyertai program Gegar Vaganza (GV) musim kedua yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kira-kira 10 tahun lalu.

Menurut Farahdhiya, sepanjang tempoh pertandingan tersebut, dia mengalami kejadian aneh yang tidak dapat dijelaskan secara logik.

Katanya, ia termasuk kehilangan suara secara tiba-tiba setiap kali melangkah masuk ke auditorium berkenaan.

“Setiap kali masuk MBSA saja, suara saya hilang. Sedangkan saya tidak sakit pun. Saya berjumpa lima orang doktor, malah ada yang masukkan kamera untuk periksa, tapi mereka kata semuanya normal,” katanya.

Tambah penyanyi lagu Bertakhta di Hati itu, keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila beberapa rakan media yang mengenalinya menasihati supaya berhati-hati dengan makanan dan minuman yang diberikan oleh orang lain ketika berada di lokasi tersebut.

“Mereka pesan, ‘kalau orang bagi makan atau minum, jangan ambil. Memang rambut sama hitam,depan memang baik tapi hati orang kita tak tahu.

“Jadi lebih baik berhati-hati. Hal itu betul-betul membuka mata saya. Saya tak pernah terlintas langsung nak berburuk sangka, tapi selepas kejadian itu, saya sangat berhati-hati.

“Saya terus tak sentuh mana-mana makanan atau air yang orang bagi,terus jadi takut. Padahal seumur hidup saya jenis tak fikir benda-benda itu semua.

“Tetapi sehingga sekarang, saya tidak punya jawapan tentang apa sebenarnya yang terjadi. Masa itu fikir tak sabar nak habiskan saja. Menang ke kalah dah tak kisah,”luahnya.

Farahdhiya mengakui, pengalaman tersebut meninggalkan kesan mendalam sehingga kini dan membuatkan dirinya berasa tidak selesa untuk kembali ke MBSA, terutama jika perlu membuat persembahan di sana.

“Walaupun sudah 10 tahun berlalu, trauma itu masih ada. Saya bukan jenis yang mudah percaya hal mistik, tapi apa yang berlaku benar-benar di luar jangkaan,” katanya lagi.

Walaupun melalui detik mencabar itu, Farahdhiya tetap bersyukur apabila berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan berkenaan, sekali gus membuka lebih banyak pintu rezeki selepas itu.

“Menang tempat kedua adalah antara rezeki terbaik dalam hidup saya. Selepas itu, banyak peluang datang.

“Tapi MBSA tetap menjadi tempat yang saya tak rasa tenang untuk kembali,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN