KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan selebriti media sosial, Aisar Khaled, menyeru agar setiap individu khususnya golongan berpengaruh untuk terus menyuarakan isu Palestin sebagai tanda solidariti dan kemanusiaan sejagat.
Menurut Aisar, tanggungjawab itu bukan sekadar berkaitan agama atau bangsa, tetapi lebih kepada sifat kemanusiaan yang harus dipertahankan oleh semua pihak.
“Bagi saya, tugas sebagai seorang pempengaruh ataupun orang-orang yang berpengaruh ini sangat-sangat penting untuk kita bersuara.
“Ini bukan soal agama, bukan soal bangsa, tapi soal kemanusiaan,” katanya ketika ditemui pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, semalam.
Tambahnya, usaha untuk menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin harus datang dari hati dan dilakukan dengan penuh keikhlasan.
“Ini juga merupakan kali pertama saya berkumpul macam ini untuk bersolidariti bersama Palestin. Hari ni juga saya bawa bendera yang saya buat sendiri, bendera Palestin ini yang berukuran 100 meter.
“Saya buat dengan pasukan saya selama beberapa hari bagi menyiapkannya demi hadir ke himpunan ini,”katanya.
Dalam pada itu, Aisar yang mempunyai darah campuran Jordan dan Palestin berkata, sudah tentu sebagai seorang insan, dia amat terkesan dengan nasib rakyat di bumi bergolak itu dan mahu menggunakan pengaruhnya untuk menyedarkan masyarakat mengenai kekejaman rejim Zionis.
“Sedikit sebanyak, pengaruh seorang pempengaruh itu sangat-sangat besar kepada dunia untuk menunjukkan macam mana kekejaman Zionis di sana. Sebab itu saya percaya golongan pempengaruh harus memainkan peranan ini sebab kita ada platform itu.
“Saya juga faham mungkin ada yang takut tiba-tiba job dia hilang, rezeki dia tak ada. Tapi bila kita fikir balik, dunia ni sementara.
“Kita kena berani berkorban dan percaya kepada rezeki. Insya-Allah, Allah akan gantikan dengan lebih banyak,” ujarnya lagi.
Selain itu, Aisar turut menasihatkan orang ramai agar tidak berhenti menyebarkan kesedaran mengenai solidariti dan perjuangan rakyat Palestin.