KUALA LUMPUR: Demi tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin, pelakon dan pendakwah terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi, sanggup menolak beberapa tawaran kerja bernilai tinggi daripada syarikat serta produk yang mempunyai kaitan dengan zionis.
Menurut Oki, 36, keputusan tersebut dibuat atas kesedaran peribadi tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.
Malah, katanya, ia juga sebagai usaha kecil dirinya untuk kekal istiqamah menyokong perjuangan rakyat Gaza.
“Banyak tawaran kerja yang terpaksa saya tolak walaupun bayarannya sangat lumayan. Sebagai manusia biasa, saya juga perlukan wang untuk keperluan hidup dan pendidikan anak-anak.
“Namun saya tidak sanggup menipu diri sendiri. Dalam hati, saya ingin membantu Gaza, jadi saya lakukan apa yang termampu,” katanya.
Oki berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Filem Hayya 3: Gaza yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, di sini, baru-baru ini.
Tambah Oki, meskipun pendiriannya menyokong Gaza sudah diketahui umum, namun masih ada pihak yang cuba mendekatinya dengan tawaran kerja bernilai tinggi.
“Mereka tahu saya menyokong Gaza, tapi masih menawarkan projek dengan bayaran besar. Mungkin kerana mereka melihat saya sebagai figura Islam.
Namun saya tetap berpegang pada pendirian saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Oki turut membintangi filem Hayya 3: Gaza yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 30 Oktober ini.
Filem arahan Jastis Arimba terbitan Warna Pictures dan 786 Productions itu turut menampilkan pelakon seperti Amna Shahab, Azamy Shauqi, Cut Syifa, Adhin Abdul Halim dan beberapa nama popular lain.










