Nicki Minaj, Cardi B saling sindir-menyindir di media sosial - Utusan Malaysia

Nicki Minaj, Cardi B saling sindir-menyindir di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pertelingkahan dua penyanyi rap popular antarabangsa, Cardi B dan Nicki Minaj kembali hangat selepas kedua-duanya dikatakan saling menyindir di platform X.

Perkara itu dihidu warganet apabila Nicki mendakwa Cardi B ‘menaikkan’ jualan album terbaharunya Am I The Drama? sehingga memperoleh pensijilan berganda platinum pada 29 September lalu.

Cardi bagaimanapun segera membalas kenyataan itu dengan menegaskan Nicki sepatutnya membuat perbandingan dengan rakan seangkatan yang memulakan kerjaya pada era yang sama, antaranya Rihanna, Taylor Swift dan Drake.

“Kenapa asyik sebut album saya? Anda sudah lebih 16 tahun dalam industri. Bandinglah diri dengan artis sezaman, bukan dengan saya.

“Saya masih bersekolah menengah ketika anda muncul,” tulis penyanyi Bodak Yellow itu.

Pertikaian semakin panas apabila Cardi menuduh Nicki mempersoalkan kehamilannya dan menyindir kononnya dia dijangkiti Human Papillomavirus (HPV).

“Ini sudah kali ketiga dia sebut tentang kandungan saya. Oh Tuhan, lindungilah anak-anak saya,” katanya.

Cardi kini hamil anak keempat bersama kekasihnya, pemain NFL, Stefon Diggs.

Sementara itu, Nicki, 40, dalam beberapa ciapan lain turut memperlekehkan harga album Cardi yang dijual pada harga promosi AS$4.99 serta mengejek lagunya yang berjudul Magnet.

Malah, dia juga mendakwa Cardi menjalani pembedahan kosmetik untuk menyerupai dirinya.

Bagaimanapun Cardi tidak berdiam diri, sebaliknya menyindir kembali Nicki dengan mengungkit kes jenayah seksual abang penyanyi Starships itu, Jelani Maraj, yang dijatuhi hukuman penjara 25 tahun kerana merogol anak tiri berusia 11 tahun pada 2020.

Pertelagahan tersebut nyata mengejutkan Cardi yang pada awalnya mendakwa dirinya sedang sibuk memasak.

“Saya tengah bakar rusuk dan buat brownies, tiba-tiba dia datang kacau pada hari Isnin.

“Mesti dia rindukan saya. Cium kaki saya sekarang,”sindirnya di platform X.

Pertikaian terbuka antara kedua-dua bintang rap itu sekali lagi mencetus perhatian dunia hiburan antarabangsa, yang sejak sekian lama menyaksikan persaingan sengit antara mereka berdua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN