SEOUL: Anggota kumpulan sensasi K-pop BTS, RM, menarik perhatian ramai apabila berkongsi pandangan jujur dan matang mengenai perkahwinan serta memiliki anak, dalam satu siaran langsung di platform Weverse pada 5 Oktober lalu.
Dalam sesi siaran tersebut, RM atau nama sebenarnya Kim Nam-joon, 32, menegaskan bahawa perkahwinan dan mempunyai anak bukan lagi satu kewajipan, sebaliknya pilihan peribadi yang harus dibuat mengikut keselesaan dan keadaan hidup masing-masing.
“Jika saya bertemu orang yang tepat pada masa yang sesuai, mungkin saya akan berkahwin. Atau mungkin saya akan hidup bersendirian begini sahaja. Saya rasa tiada jawapan yang betul atau salah,” katanya dengan tenang.
Ketua kumpulan popular itu turut menyentuh tentang tekanan sosial yang dihadapi individu, khususnya wanita, berkaitan isu perkahwinan dan kelahiran anak.
“Ramai berasa tertekan tentang perkahwinan, terutama wanita yang sering mendapat tekanan daripada masyarakat dan media mengenai soal anak dan keluarga. Saya hanya berharap semua orang dapat hidup mengikut rentak sendiri,” ujarnya.
Tidak cuma itu, RM turut menegaskan bahawa perkahwinan bukanlah jalan penyelesaian kepada rasa kesunyian.
“Jika seseorang tidak dapat bertahan hidup bersendirian, adakah perkahwinan akan menjadikan keadaan lebih baik?
“Kadang-kadang bila sudah berkahwin, akan ada masa di mana kita mahu bersendirian semula. Jadi, seseorang yang selesa bersendirian biasanya juga selesa hidup bersama orang lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, RM juga mengakui bahawa beliau masih belum yakin untuk bergelar bapa.
“Sejujurnya, saya pun susah nak uruskan diri sendiri. Anak-anak ada fikiran mereka sendiri. Bila saya fikir betapa banyak masalah saya berikan kepada ibu bapa saya dahulu, saya tidak dapat bayangkan jika anak seperti saya dilahirkan kepada saya.
“Bagi generasi kami, perkahwinan bukan lagi satu kewajipan seperti dahulu. Ia kini satu pilihan. Jadi setiap orang patut membuat keputusan berdasarkan keinginan sendiri,” jelasnya.
RM turut mengimbas zaman kecilnya yang penuh cabaran, mengakui bahawa dia kini berusaha menebus kesilapan lalu dengan berbakti kepada ibu bapanya.
“Saya banyak menyusahkan ibu bapa saya ketika kecil, sebab itu sekarang saya cuba menjadi anak yang baik. Dalam satu cara, itu karma,” katanya bersahaja.
Pandangan RM itu mendapat pujian daripada peminat dan pengguna media sosial, khususnya kerana disampaikan semasa sambutan Chuseok, perayaan keluarga tradisional Korea yang sering dikaitkan dengan tekanan sosial terhadap wanita berkeluarga.
Ramai memuji RM atas empati dan kejujuran nya dalam membicarakan topik yang sering dianggap sensitif dalam masyarakat moden Korea.