Mimpi neraka jadi asbab Kilafairy pakai tudung - Utusan Malaysia

Mimpi neraka jadi asbab Kilafairy pakai tudung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengalaman mimpi yang cukup menginsafkan menjadi detik permulaan penghijrahan pelakon dan penyanyi, Kila Fairy menutup aurat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kila atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 33, berkongsi pengalaman tersebut menerusi siaran podcast bersama Studio Sembang, baru-baru ini.

Menurut pelakon filem Blok 404 itu, sebelum ini dia mengakui bersikap skeptikal terhadap kisah-kisah hijrah yang berpunca daripada mimpi.

Namun, segalanya berubah selepas dirinya sendiri melalui pengalaman luar biasa tersebut.

“Selama bertahun-tahun, doa saya cuma satu, ‘Ya Allah, jadikan saya Muslimah yang baik. Tunjukkan saya jalan, takutkan saya kalau perlu’.

“Malam itu, saya bermimpi melihat setiap perincian tentang syurga dan neraka,” katanya.

Tambah Kila, mimpi berkenaan begitu nyata dan menakutkan hingga membuatkan dirinya tersedar daripada lena dalam keadaan menggigil.

“Saya nampak bagaimana azab di neraka, bagaimana manusia diseksa,ada yang dipotong tangan, ditarik lidah.

“Malah, saya nampak makhluk seperti syaitan, uratnya bagaikan lava dan suaranya seperti guruh,” ujarnya.

Berikutan pengalaman itu, Kila nekad melakukan perubahan serta-merta dengan menutup aurat.

“Selepas terjaga, saya terus pesan tudung dan ambil shawl milik mama.

“Saya juga hubungi Neelofa untuk bertanyakan pandangan, dan beliau mencadangkan saya berjumpa ustaz Haris bagi menafsirkan mimpi tersebut,” katanya lagi.

Menurut anak kepada penyanyi terkenal era 1980-an, Rohana Jalil itu, mimpi berkenaan meninggalkan kesan mendalam kerana setiap gambaran yang dilihat seolah-olah sama seperti yang diceritakan dalam al-Quran dan hadis.

“Mimpi itu benar-benar membuka mata saya tentang kebesaran Allah. Dari situ saya berazam untuk berubah dan menjadi Muslimah yang lebih baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN