KUALA LUMPUR : Anak kepada pelakon terkenal Datuk Aaron Aziz, Dwi Ariana, tampil menjelaskan situasi sebenar selepas namanya menjadi perhatian susulan kenyataannya mempertahankan bapanya dalam isu melibatkan seorang personaliti media sosial, Sharina Richie.
Menurut Dwi, segala mesej yang dihantarnya kepada Sharina minggu lalu hanyalah usaha untuk menjelaskan kerosakan imej yang telah menimpa bapanya, dan bukan berbentuk ugutan mahu pun buli siber.
“Tangkap layar yang saya kongsi itu merupakan mesej-mesej saya kepada dia minggu lepas. Tiada unsur ugutan, tiada buli.
“Saya hanya cuba menjelaskan secara sopan tentang kesan yang telah ditimbulkan terhadap ayah saya, dan cuba mendapatkan simpati bagi pihak adik perempuan saya yang berusia 15 tahun supaya video itu diturunkan,” katanya di Threads hari ini.
Jelas Dwi lagi, tindakan memuat naik isu itu ke ruang awam dibuat hanya selepas mesejnya tidak dibalas oleh pihak berkenaan.
“Saya mungkin baru berusia 19 tahun, tetapi sebagai seseorang yang berpendidikan dan sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Psikologi, saya tahu membezakan antara memberi teguran dan membuli,” ujarnya.
Bagaimanapun, Dwi menegaskan dia sama sekali tidak menyokong sebarang bentuk ancaman atau serangan terhadap Sharina selepas isu itu tular.
“Saya tidak menyokong sebarang ancaman serius yang diterima olehnya. Apa-apa bentuk buli tetap tidak boleh diterima,” tambahnya.
Sebelum itu, Dwi turut memuat naik tangkap layar komen yang ditulisnya kepada Sharina di Instagram.
Komen tersebut antara lain berbunyi seperti berikut.
“Sungguh memalukan apabila anda mengambil sedutan temu bual itu di luar konteks dan menjatuhkan seseorang yang selama ini memperjuangkan isu Gaza di dalam dan luar media.
“Bap saya hanya bercakap mengenai bagaimana sesetengah pihak menggunakan isu itu untuk meraih keuntungan peribadi. Ya, mungkin penyampaiannya tidak tepat, tetapi jika anda menonton keseluruhan temu bual itu, anda akan faham maksud sebenar.
“Sebagai pencipta bahan kandungan media sosial, anda sepatutnya tahu bagaimana media sering memutar konteks sesuatu perkara, namun anda melakukan perkara yang sama,”katanya.
Terdahulu, Aaron Aziz dan isteri, Diyana Halik mengesahkan telah menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh, Sharina Richie.
Menurut Aaron, dia sangat terkejut menerima LOD itu kerana pihak Sharina mahu menyaman anaknya, Dwi Ariana sebanyak RM2 Juta.