Malas beri komitmen, boleh tengok artis itu boleh pergi jauh atau tidak - Jaja Ishak - Utusan Malaysia

Malas beri komitmen, boleh tengok artis itu boleh pergi jauh atau tidak – Jaja Ishak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:Penerbit, Jaja Ishak, berpendapat, setiap penyanyi dan artis perlu mempunyai disiplin serta komitmen tinggi sekiranya mahu memastikan kerjaya seni mereka berada di landasan yang betul.

Menurut Jaja, pengalaman lalu mengajarnya bahawa kejayaan seseorang artis bukan hanya bergantung kepada bakat dan populariti semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama erat dan kesungguhan dalam setiap aspek kerja termasuk promosi, latihan, dan perhubungan awam (PR).

“Saya pernah berdepan dengan situasi di mana ada penyanyi yang enggan pergi promosi, malas hadir ke sesi radio, malah menolak persembahan kecil.

“Namun, daripada pengalaman itu, kita boleh tahu dari awal sama ada seseorang penyanyi itu boleh pergi jauh atau tidak.

“Disebabkan itu, saya tekankan, mana-mana artis yang bernaung di bawah syarikat saya, perlu bersedia menjalani latihan vokal, mempelajari aspek PR, dan menghormati terma serta syarat label.

“Kalau pihak label aturkan promosi, pertemuan dengan media atau rakan strategik, mereka perlu ambil serius. Dunia hiburan bukan sekadar glamor, ia menuntut kerja keras dan disiplin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Jaja berkata, dia kini merancang untuk menerbitkan 12 lagu baharu pada tahun hadapan dengan membuka peluang kepada 12 orang penyanyi baharu yang berpotensi untuk diketengahkan dalam industri muzik.

Katanya, peluang tersebut dibuka kepada semua tanpa mengira latar belakang sosial atau pengalaman dalam bidang seni.

“Tidak kiralah daripada golongan T20, M40 atau B40, malah penyanyi profesional, penyanyi meningkat naik ataupun penyanyi jalanan, semua boleh mencuba.

“Yang penting, mereka ada semangat, disiplin dan kualiti suara yang boleh dijual,” ujarnya.

Kongsi Jaja, projek itu turut menjadi sebahagian daripada usahanya memperluas perniagaan karya anak tempatan ke pasaran luar negara, termasuk Brunei, Singapura, Eropah dan Timur Tengah.

“Untuk tahun depan, projek drama saya sudah mencukupi. Jadi, saya mahu tumpukan kepada pengedaran drama ke luar negara dan dalam masa sama menerbitkan lagu-lagu baharu.

“Beberapa lagu terbitan saya pernah viral di semua platform sebelum ini. Saya lihat muzik ini satu bisnes yang tak nampak sangat, tetapi boleh memberi pulangan jangka panjang yang baik,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai progres permohonan yang diterima, katanya Jaja, proses pemilihan penyanyi sedang dijalankan dan pihaknya menerima penyertaan daripada pelbagai pihak, termasuk calon dari Indonesia.

“Sekarang pun sudah ada yang hantar resume melalui TikTok. Kita akan uruskan semua dari pihak label, asalkan calon penyanyi lulus tapisan awal. Proses saringan akan dijalankan hingga bulan Disember.

“Genre lagu yang akan dihasilkan pula adalah mengikut trend terkini, sama ada slow rock, balada atau apa sahaja yang sedang diminati. Yang penting lagu itu boleh meletup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN