SEOUL : Dunia hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan dakwaan terhadap pelakon popular, Lee Yi Kyung, selepas seorang wanita warga Jerman menuduhnya melakukan gangguan seksual.
Menurut laporan media tempatan, seorang pengguna internet yang mengaku berasal dari Jerman dan fasih berbahasa Korea, dikenali sebagai A, telah memuat naik satu hantaran bertajuk ‘Membongkar Wajah Sebenar Lee Yi Kyung di sebuah blog baru-baru ini.
Dalam hantaran tersebut, wanita berkenaan turut menyertakan tangkap layar perbualan melalui aplikasi KakaoTalk dan Instagram yang didakwa dihantar sendiri oleh aktor berkenaan.
Antara kandungan mesej itu termasuk permintaan gambar tubuh serta mesej berunsur lucah dan kata-kata kesat.
Susulan tuduhan tersebut, agensi yang menaungi pelakon drama Marry My Husband itu, Sangyoung ENT, tampil mengeluarkan kenyataan rasmi, semalam.
Pihak agensi menegaskan dakwaan yang dilemparkan oleh A adalah tidak benar dan mendakwa wanita berkenaan pernah cuba memeras ugut syarikat mereka sebelum ini.
“Semua dakwaan yang dikaitkan dengan kehidupan peribadi Lee Yi Kyung yang tersebar di internet adalah palsu. Wanita yang menulis hantaran itu pernah menghantar e-mel kepada kami beberapa bulan lalu dengan kandungan yang sama sambil meminta sejumlah wang.
“Ketika itu, dia mengaku mesej-mesej berkenaan adalah palsu dan memohon maaf. Namun kini, dia kembali menyebarkan fitnah yang sama,” tambah kenyataan itu lagi.
Agensi turut memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebaran fitnah tersebut serta menuntut ganti rugi atas segala kerugian yang menjejaskan kerjaya pelakon kelahiran 1989 itu.
Bagaimanapun, A menafikan dakwaan bahawa beliau cuba memeras ugut pihak agensi atau pelakon berkenaan.
Katanya, dia pernah bertanya mengenai wang kepada Yi Kyung kerana menghadapi masalah kewangan, namun menegaskan tidak pernah meminta secara paksaan.
“Aku memang pernah bertanya, ‘bolehkah kamu berikan aku wang?’. Ketika itu aku menghadapi kesukaran kewangan dan tidak mahu meminta daripada ibu bapa, jadi aku bertanya kepadanya,” ujar A dalam hantaran terbaharu.
Namun katanya lagi, dia tidak pernah menerima sebarang wang daripada Yi Kyung kerana berasa tidak selesa, malah tidak mengulangi permintaan itu selepas kejadian berkenaan.
“Niatku memuat naik perbualan tersebut bukan untuk meminta wang, tetapi untuk memberi amaran kepada wanita lain agar tidak menjadi mangsa,” katanya.
Wanita terbabit juga memohon agar netizen tidak mencampuri urusan peribadinya serta mengakui tidak menyangka isu tersebut akan menjadi tular.
“Aku tidak tahu perkara ini akan menjadi sebesar ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Lee Yi Kyung sebelum ini pernah mendedahkan bahawa beliau menjadi mangsa penipuan pelaburan sehingga menanggung hutang mencecah 500 juta won (kira-kira RM1.8 juta).
Setakat ini, pihak pelakon berkenaan belum memberikan sebarang kenyataan lanjut berhubung isu terbaharu tersebut.