Konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi tetap diteruskan - Utusan Malaysia

Konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi tetap diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock legenda tanah air, WINGS, mengesahkan bahawa Konsert Ulang Tahun Ke-40 akan diteruskan seperti yang dijadualkan, meskipun dua ahli asal, Black (dram) dan Eddie (bass), mengumumkan pengunduran diri, semalam.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM), Datuk Eddy Amir Salim, konsert bertemakan WINGS 40: 4 Dekad Terbang Tinggi itu akan berlangsung pada 28 November ini di Idea Live Arena, Damansara, sebagai tanda penghargaan terhadap empat dekad perjalanan seni kumpulan yang menjadi ikon muzik rock tempatan sejak ditubuhkan pada tahun 1985.

“Konsert ulang tahun ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghormatan kepada nama besar WINGS yang telah menghiburkan jutaan peminat selama empat dekad.

“Kami mahu memastikan setiap penonton membawa pulang kenangan manis bersama lagu-lagu lagenda mereka,” ujarnya.

Selain itu, Eddy turut menzahirkan ucapan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Eddie dan Black, serta mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah SWT.

Tambahnya, segala persiapan berjalan lancar dan pihak penganjur menjanjikan persembahan yang penuh energi, nostalgia dan kehebatan tersendiri.

“Setakat ini, jualan tiket telah mencecah 90 peratus. Hanya sekitar 10 peratus tiket masih berbaki untuk peminat yang belum membuat pembelian,” jelasnya.

Semalam, dua anggota kumpulan tersebut iaitu Eddie dan Black membuat keputusan mengejutkan apabila mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut.

Berdasarkan kenyataan rasmi kepada media, pengunduran itu mula berkuat kuasa serta-merta pada hari Rabu.

Selain itu, Eddie dan Black juga memaklumkan bahawa mereka tidak akan terlibat dalam ‘Konsert WINGS 40 Tahun Celebration’ yang dijadualkan berlangsung pada 28 November ini di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN