KUALA LUMPUR : Pelakon versatil tanah air, Sofia Jane, mengimbau kembali kenangan manis dan penuh cabaran sewaktu penggambaran filem Cinta Kita (1995) yang tanpa disangka-sangka telah mengabadikan namanya pada sebuah lokasi pelancongan iaitu di Air Terjun Sofia Jane, di Kemensah, Selangor.
Menurut Sofia, pengalaman berlakon di kawasan air terjun itu merupakan antara detik paling mencabar sepanjang karier seninya kerana ketika itu tiada kemudahan asas.
Malah, katanya, kru produksi terpaksa meredah hutan untuk sampai ke lokasi penggambaran.
“Orang nampak hasil filem, tapi tak tahu apa yang berlaku di sebaliknya. Bayangkan, waktu itu tiada trek, tiada siapa pernah menebang laluan ke sana,” katanya menerusi podcast Legasi: Sembang, Sambung!
Mengimbas kembali dedikasi pengarah filem berkenaan, Allahyarham Kamal Ishak, Sofia menyifatkan arwah sebagai seorang yang sangat komited terhadap visinya.
“Kamal Ishak suka lokasi itu. Kalau dia nak sesuatu tempat, walau apa pun halangan, dia akan pastikan dapat juga.
“Masa itu, kami guna kren besar, lori teknikal dan bina set di kawasan air terjun. Banyak kerja dilakukan di situ,” ujarnya.
Sofia turut berkongsi bahawa penggambaran filem tersebut mengambil masa hampir lima bulan, dan seluruh produksi berkhemah di kawasan itu selama lebih 20 minggu.
“Saya masih ingat mak saya tanya bila saya nak balik. Kami tidur, mandi, dan buat semua di situ. Tiada siapa akan dapat pengalaman seperti itu lagi. Ia satu kenangan yang takkan dilupakan,” katanya lagi.
Menariknya, meskipun lokasi tersebut kini dikenali ramai sebagai Air Terjun Sofia Jane, pelakon berkenaan mengakui belum pernah kembali ke sana selepas penggambaran berakhir.
“Saya tak pernah ke sana sejak habis penggambaran, tapi mungkin saya patut pergi.
“Saya bersyukur diberi peluang alami pengalaman sebegitu. Kalau saya bukan pelakon, saya takkan rasa nikmat itu, satu pengajaran untuk teruskan kerja dengan hati,” ujarnya.
Untuk rekod, Cinta Kita merupakan filem bergenre cinta dan drama arahan Kamal Ishak yang ditayangkan pada tahun 1995, dibintangi oleh Sofia Jane dan Arman Graseka.
Filem itu turut melonjakkan populariti kawasan berkenaan hingga kekal dikenali sebagai Air Terjun Sofia Jane sehingga kini.
Dalam perkembangan lain, Sofia bakal muncul dalam filem Malam Terlarang arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) yang akan menemui penonton pada 30 Oktober ini.
Filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold Sdn. Bhd. itu turut menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Shasha Abedul (Mawar), Zul Ariffin (Omar), Sabri Yunus (Mokhtar), Normah Damanhuri (Mak Noni), Haneesya Hanee (Pamakbul) dan Hasnul Rahmat (Haji Wahid).