KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer tersohor tanah air, Faizal Tahir, menyeru rakyat Malaysia agar terus memberikan perhatian serta tekanan berterusan terhadap isu penahanan delegasi Global Sumud Flotilla oleh rejim Zionis Israel baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan video yang dimuat naik di media sosialnya, Faizal menzahirkan rasa prihatin terhadap nasib para aktivis kemanusiaan yang ditahan, termasuk rakyat Malaysia yang turut menjadi sebahagian daripada misi tersebut.
“Telah beberapa hari kita semua digemparkan dengan berita penahanan kapal-kapal yang berlayar di bawah naungan JSF.
“Di bawah penahanan itu termasuklah rakyat Malaysia sendiri. Apa yang saya harapkan daripada isu ini adalah kesinambungan tekanan yang diberikan secara terus-menerus dan konsisten.
“Media massa memainkan peranan penting dan kita semua sebenarnya boleh menggunakan media sosial untuk terus bercerita tentang isu ini,” ujarnya.
Selain itu, Faizal turut menyeru orang ramai agar menggunakan platform masing-masing untuk meningkatkan kesedaran serta menyalurkan tekanan moral terhadap rejim Zionis supaya tahanan flotilla dibebaskan dan dapat pulang dengan selamat ke tanah air.
“Teruskan berdoa, jangan pernah berhenti berdoa. Laksanakan solat hajat untuk saudara-saudara kita di Palestin dan juga delegasi Global Sumud Flotilla.
“Kita terus sumud, membujur lalu, melintang patah. Sumud Nusantara tak mungkin mengalah,”katanya.
Dalam pada itu, Faizal turut memaklumkan bahawa bagi mereka yang ingin memberikan sumbangan dan sokongan terhadap perjuangan tersebut, boleh berbuat demikian melalui laman web rasmi sumudnusantara.com