BUKANLAH seorang yang penakut, namun pelakon, Sharifah Sakinah tetap berhati-hati ketika mahu menghidupkan sesuatu adegan apalagi jika melibatkan unsur mistik atau bacaan mantera yang ‘menjemput’ semangat alam ghaib.
Bercerita lanjut pengalamannya menerusi filem seram terbaharu arahan Ghaz Abu Bakar, Sakinah atau Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 36, mengakui antara babak mencabar dalam naskhah ini ialah adegan di mana dia perlu membaca mantera yang ditulis dalam tulisan Thailand yang disediakan pihak produksi.
“Pihak produksi ada dapatkan mantera dan saya cakap, kalau mantera ini membawa maksud yang betul, saya tak mahu teruskan kerana ia akan memanggil (unsur mistik). Namun pada masa yang sama, saya juga perlu merasakan mantera itu betul.
“Mantera itu dalam bahasa Thailand, jadi saya tidak tahu mungkin ia memang memanggil (unsur mistik) sebab saya sendiri pun tak tahu.
“Kemudian selepas berbincang semula, saya perlu buat juga adegan membaca mantera itu cuma adalah yang ditukar. Tapi tidaklah ubah terlalu jauh maksudnya.
“Sekiranya filem masuk Netflix atau sebagainya, orang Thailand akan tengok. Kalau orang Thailand tahu saya cakap perkara lain seperti ‘roti canai’, mereka akan gelak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, mengenai cara sebutan pula, Sakinah mempunyai guru yang disediakan pihak produksi di samping belajar daripada video-video yang ada di media sosial. Malah menurutnya, guru tersebut mengatakan mantera itu mempunyai bahasa yang tinggi.
Bagaimanapun, Sakinah bersyukur kerana tiada sebarang kejadian aneh berlaku di set penggambaran. Lagipula, lokasi rumah yang menjadi set penggambaran pula sudah selalu digunakan produksi yang lain.
“Saya memang betul-betul fokus di set dan tidak ambil peduli dengan perkara yang tidak penting. Kalau orang kata ada sesuatu (mistik), saya cuma cakap ‘biasalah itu’,” katanya.
Walaupun memainkan watak seorang ibu tiri yang serius bernama Mawar, namun Sakinah berkata suasana di set tidaklah terlalu tegang. Ada masanya mereka bergelak ketawa dan bernyanyi, namun beliau kekal komited bila tiba masanya untuk beraksi.
Dalam usaha membawa watak tersebut dengan sempurna, Sakinah turut mencipta sendiri nuansa karakter yang dibawakannya. Beliau tidak mahu menjadikan watak itu satu stereotaip seperti ‘ibu tiri yang membebel’, tetapi mencipta satu persona wajah tanpa ekspresi di mana penonton perlu meneka sama ada dia seorang yang baik atau sebaliknya.
“Saya cipta sendiri karakter saya dan bincang dengan pengarah. Kalau karakter ibu tiri di Malaysia mesti seorang yang garang. Tapi karakter saya berbeza, wajahnya tak banyak reaksi biar penonton berteka-teki,” jelasnya.
Qifarah menceritakan Yusoff lakonan Remy yang berhijrah ke Kaherah, Mesir bersama isterinya, Marissa (Rita) dan anak lelaki mereka, Mikhael (Iskandar).
Selepas menerima panggilan daripada bapanya yang memberitahu bahawa dirinya sedang nazak, Yusoff membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia bersendirian.
Namun, segala-galanya menjadi rumit apabila Marissa dan Mikhael muncul di rumah Yusoff secara tiba-tiba tanpa pengetahuannya. Keluarga mereka kemudian mula mengalami kejadian aneh.
Qifarah turut dijayakan Rita Nadira, Liyana Jasmay, Vanida Imran, Namron dan Esma Daniel yang akan menemui penonton 9 Oktober ini.