Jual tiket harga rahmah, Konsert Hafiz Suip Di Sebalik Aku diteruskan - Utusan Malaysia

Jual tiket harga rahmah, Konsert Hafiz Suip Di Sebalik Aku diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selepas hampir sebulan peminat dihantui tanda tanya berhubung nasib Konsert Di Sebalik Aku Hafiz Suip, SAH Entertainment, mengumumkan akan meneruskan konsert tersebut sebagaimana perancangan awal.

Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, konsert itu akan tetap berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 1 November ini.

Katanya, penutupan platform jualan tiket selama tiga minggu sebelum ini menimbulkan salah faham dalam kalangan peminat sehingga timbul spekulasi konsert bakal dibatalkan.

“Semestinya konsert tetap diteruskan. Bagi penganjur, pembatalan adalah perkara terakhir yang mahu dielakkan.

“Kali ini kami mendapat tiga penaja termasuk isteri saya sendiri. Apabila Hafiz mencadangkan penurunan harga tiket, kami ambil masa beberapa hari untuk rundingan bersama agensi jualan tiket dan akhirnya ia dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada pihak penganjur menurunkan harga tiket hasil inisiatif penyanyi berkenaan yang prihatin terhadap kos ditanggung peminat dari luar Lembah Klang.

Sufi juga menjelaskan, seramai 1,462 pembeli tiket terdahulu sudah menerima pulangan sebahagian wang mereka susulan pengumuman penurunan harga tersebut.

“Bagi pembeli seterusnya, hanya perlu membuat bayaran mengikut harga baharu yang lebih rendah.

“Namun, dari segi bayaran kepada Hafiz, ia kekal seperti dipersetujui kerana itu sumber rezekinya,” jelasnya.

Sementara itu, Hafiz menegaskan keputusan menurunkan harga tiket dibuat demi meringankan beban peminat.

“Saya ambil berat keadaan peminat, ada yang datang dari Sabah, Sarawak dan Singapura. Mereka perlu tanggung kos pengangkutan dan penginapan, jadi saya cadangkan kepada pihak penganjur agar harga tiket diturunkan.

“Alhamdulillah, penaja sudi bersama kami dan keputusan ini dipersetujui selepas perbincangan,” katanya yang juga juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7).

Harga tiket baharu konsert diumumkan seperti berikut: RM788 diturunkan kepada RM588, RM588 (RM358), RM488 (RM288), RM388 (RM228), RM288 (RM188) dan RM188 (RM148).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN