KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Janna Nick meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pihak yang mempertikai penglibatan golongan wanita dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menurut Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 30, kehadiran aktivis wanita dalam misi itu membuktikan keberanian serta keikhlasan mereka demi memperjuangkan hak kemanusiaan dan membela nasib rakyat Palestin.
“Kalau ada yang masih mempersoalkan kenapa wanita turut serta dalam misi ini, ia jelas menunjukkan mereka tidak memahami pengorbanan sebenar.
“Jika tidak mampu menyumbang, jangan pula mempertikaikan usaha orang lain,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Dalam masa sama, Janna turut menempelak pihak yang sinis terhadap aktivis yang membuat siaran langsung menerusi platform media sosial seperti TikTok sepanjang misi berkenaan.
“Rakaman secara langsung bukan untuk hiburan, sebaliknya bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai perjuangan rakyat Palestin,” ujarnya.
Selebriti itu turut mengingatkan agar masyarakat tidak bersikap angkuh ketika menilai pengorbanan orang lain.
Janna menyifatkan sikap segelintir golongan tertentu yang memandang rendah usaha aktivis sebagai tidak cerdik dan hanya merendahkan martabat sendiri.
“Kau ingat mereka buat live dekat TikTok tu sebab suka-suka? Sambil ketawa seronok-seronok? Tidak! Itu semua untuk perjuangan, untuk kesedaran,”ujarnya.
Dalam pada itu, Janna itu turut mengimbas kembali sindiran segelintir pihak terhadap golongan B40 sebelum ini, namun kali ini dia membidas pula sikap sesetengah golongan elit yang disifatkannya sebagai kurang cerdik.
“Dulu ada makcik cakap, ‘I tak boleh duduk dengan orang B40.’ Hari ini aku nak balas, ‘I tak boleh duduk dengan orang T20 yang bodoh sombong!’ Tolonglah, perangai macam itu memang jijik,”tegasnya.
Kenyataan lantang Janna itu menarik perhatian ramai, malah peminat memuji keberaniannya menyuarakan pandangan yang disifatkan sebagai mewakili suara masyarakat prihatin.
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) kini menjadi perhatian apabila beberapa sukarelawan Malaysia, termasuk tokoh masyarakat dan selebriti, ditahan tentera Zionis selepas kapal yang mereka naiki dirampas baru-baru ini.