Izin anak terjun dunia lakonan, Hadie tetap akan saya pantau - Ina Naim

Izin anak terjun dunia lakonan, Hadie tetap akan saya pantau – Ina Naim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pempengaruh, Ina Naim mengakui memberi keizinan kepada anaknya, Ehmad Hadie Elfardie Mohd Suhaimi untuk menceburi bidang lakonan termasuk cabang seni lain selepas menyertai program Talk To My Manager (TTMM).

Bagaimanapun, Ina menegaskan, dia akan tetap memantau perjalanan karier anaknya itu supaya tidak tergelincir dari landasan.

Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim berkata, meskipun memberi kebebasan kepada Hadie untuk berkarya, dia tidak akan berpeluk tubuh sebaliknya memainkan peranan sebagai ibu dan pengurus bagi memastikan setiap langkah anaknya dalam industri hiburan terkawal.

“Dia baru masuk industri dan tiba-tiba jadi perhatian. Kita yang lama dalam bidang ini tahu, ada yang suka dan ada yang tidak.

“Jadi sebagai ibu, saya perlu menjaga dan tidak lepaskan dia berseorangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Selain itu, kata Ina, pengalaman bersama arwah suami, Suhaimi Saad, banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati dalam mengatur perjalanan kerjaya anak.

“Kami bukan kejar populariti, sebaliknya mahu mencari rezeki halal. Popular itu bonus, tapi biarlah popular dengan pengisian. Sebab itu saya susun jadual dia supaya ada aktiviti bermanfaat,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ina bersyukur apabila Hasrat untuk memperkenalkan Hadie ke dunia lakonan mendapat sambutan positif apabila menerima tawaran daripada syarikat produksi Jaja Ishak Channel.

“Alhamdulillah, selepas tamat program realiti baru-baru ini, rezeki Hadie tidak putus. Jaja Ishak Channel melamar dia berlakon filem pendek bersama anak kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri, Qadejah El Zahra (Cess),” katanya.

Walau bagaimanapun, Ina menegaskan dia akan menapis setiap tawaran bagi memastikan ia tidak bertentangan dengan batas agama.

“Saya akan semak dahulu skrip dan elakkan adegan bersentuhan atau mendedahkan aurat. Kalau ada babak tidak sesuai, kita ubah. Kita mahu rezeki yang berkat,” jelasnya.

Sementara itu, Hadie yang juga anak kepada bekas anggota kumpulan Inteam, Allahyarham Suhaimi Saad, meluahkan rasa teruja diberi peluang melebarkan sayap ke bidang lakonan.

“Saya lebih minat berlakon walaupun bakat asal dalam nyanyian. Sebelum terjun ke bidang ini, saya berbincang dengan ibu tentang baik buruknya dan alhamdulillah, kami sepakat untuk mencuba,” katanya.

Penerbit, Jaja Ishak, pula berkata pemilihan Hadie dibuat berdasarkan sambutan positif peminat selepas kemunculannya dalam program realiti tersebut.

“Kami lihat potensi besar pada Hadie dan mahu beri peluang kepadanya. Projek filem pendek bertajuk Antara Dua Darjat dijangka ditayangkan di platform media sosial menjelang akhir November ini,” katanya.

Filem berkenaan mengisahkan percintaan dua insan daripada latar belakang berbeza yang mendapat tentangan keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN