KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti tanah air, Fattah Amin dan isterinya, penyanyi serta pelakon Amira Othman, meluahkan rasa kecewa terhadap insiden penahanan peserta misi kemanusiaan Sumut Flotila yang dalam perjalanan membawa bantuan kepada rakyat Palestin.
Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial, Fattah berkata misi berkenaan berlayar dengan penuh harapan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita akibat kekejaman rejim Zionis.
“Kami benar-benar kecewa dengan apa yang berlaku pada misi bantuan Sumud Flotilla. Misi ini berlayar dengan penuh harapan membawa bantuan untuk rakyat Palestin, tetapi peserta-peserta flotilla ini telah ditahan,” ujar Fattah.
Selain itu, Amira turut menzahirkan rasa terkilan terhadap tindakan pihak tertentu yang didakwa melanggar prinsip hak asasi manusia dengan menahan sukarelawan yang hanya membawa bantuan kemanusiaan, doa dan harapan untuk rakyat Palestin.
“Tindakan ini bukan sahaja satu ketidakadilan, tetapi jelas melanggar hak asasi manusia. Mereka tidak membawa senjata, sebaliknya membawa kasih sayang dan solidariti.
“Menahan mereka seolah-olah cuba untuk menutup suara mereka dan juga keadilan. Kita tidak harus berdiam, kita kena terus bersuara dan berdoa untuk misi bantuan Sumud Flotila,”tegasnya.
Selain itu, Fattah dan Amira mengajak seluruh masyarakat untuk terus berdiri bersama rakyat Palestin yang tertindas.
“Ingatlah, Palestin tidak akan bersendirian. Kita harus berdiri bersama-sama mereka. Free Palestin! “ tegasnya.