KUALA LUMPUR: Penyanyi antarabangsa, Anne-Marie, mencuri perhatian peminat apabila dia mendedahkan nama unik yang diberikan kepada anak keduanya iaitu Sugar.
Menurut Anne, nama itu merupakan hasil ilham daripada penyakit diabetes gestasional yang dialaminya ketika hamil.
Difahamkan, penyanyi lagu popular Ciao Adios itu dan suaminya, rapper sensasi Slowthai, menyambut kelahiran cahaya mata lelaki mereka itu pada Mei lalu.
“Namanya Forever. Sugar pula nama tengahnya,” jelas penyanyi berusia 34 tahun itu dengan senyuman.
“Nama belakangnya diambil daripada nama sebenar suami saya, Tyron Kaymone Frampton,” tambahnya.
Namun, menurut Anne pemilihan nama tersebut bukan sekadar untuk kelainan semata-mata tetapi ia sarat dengan makna peribadi dan sentimental.
Bagi nama Forever, penyanyi kelahiran United Kingdom itu menjelaskan bahawa ia diinspirasikan daripada kebiasaan neneknya yang sering menutup kad ucapan dengan ungkapan, Forever and always.
Sementara itu, nama Sugar pula dipilih sebagai simbol perjuangannya melawan diabetes gestasional, sejenis kencing manis yang lazim menyerang wanita ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan.
“Saya mengalami diabetes semasa mengandung, jadi saya fikir Sugar adalah nama tengah yang sempurna,” katanya sambil tertawa kecil.
Tidak hanya itu, Anne turut dikenali dengan kecenderungannya memberi nama luar biasa kepada anak-anaknya.
Puteri sulungnya yang lahir pada Februari 2024 turut diberi nama unik iaitu Seven.
Penyanyi itu mendedahkan, walaupun anak sulungnya masih kecil, Seven menunjukkan kasih sayang yang mendalam terhadap adik lelakinya.
“Dia melayan adiknya seperti sebaya. Kadang-kadang dia tidak sedar yang adiknya itu masih bayi,” ujarnya bersahaja.
Selain itu, Anne turut mengakui bahawa dia sebenarnya tidak merancang untuk menimang cahaya mata kedua dalam tempoh yang begitu dekat, namun tetap bersyukur dengan perjalanan hidupnya sebagai ibu.
Bagaimanapun, selepas bersalin, penyanyi berbakat besar itu mengakui pernah melalui fasa kemurungan pascapersalinan (postnatal depression).
Dalam satu hantaran di Instagram pada Julai lalu, Anne-Marie terbuka berkongsi pengalamannya berdepan tekanan mental itu.
“Saya rasa diri saya hilang untuk satu tempoh yang panjang. Fikiran saya berserabut. Saya hamil dan menyusukan anak selama lebih dua tahun hormon saya benar-benar tidak menentu,” luahnya.
Tambahnya lagi, terapi serta sokongan orang sekeliling banyak membantu dirinya keluar daripada kegelapan tersebut.
Kini, Anne bersyukur apabila keadaan mentalnya kembali stabil.
Sebagai tanda kebangkitannya, Anne baru-baru ini melancarkan single terbaharu bertajuk ‘Depressed’ pada 19 September lalu yang mana ia sebuah lagu yang dikatakan mencerminkan perjuangannya melawan tekanan dan kembali menemui diri sendiri.