Hilang kerja dua tiga kerja, saya percaya Allah akan ganti - Elly Mazlein - Utusan Malaysia

Hilang kerja dua tiga kerja, saya percaya Allah akan ganti – Elly Mazlein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi popular, Elly Mazlein mengakui berdepan pelbagai dugaan dalam kerjaya seni selepas mengambil keputusan untuk berhijrah dan tampil berhijab sepenuhnya.

Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, antara ujian yang dihadapi termasuk beberapa kontrak yang ditamatkan serta tawaran kerja yang dibatalkan secara tiba-tiba.

“Memang selepas penghijrahan ini, ada beberapa projek yang sudah dibincangkan tiba-tiba ditarik balik. Macam-macam ujian yang datang. Namun saya percaya, rezeki itu datangnya daripada Allah SWT,” katanya.

Tambah Elly, dia memahami kebimbangan sesetengah pihak terhadap masa depan kerjaya selepas penghijrahan, namun menegaskan bahawa setiap rezeki sudah ditentukan oleh Allah.

“Kita manusia biasa memang akan rasa risau, tapi saya nak kongsi, jangan takut untuk berubah. Kalau hilang dua, tiga atau empat kerja sekali pun, Insya-Allah Allah akan ganti dengan sesuatu yang lebih baik,” ujarnya.

Artis serba boleh itu juga menzahirkan harapan agar terus mendapat sokongan daripada para peminat yang sentiasa berada di sisinya sejak dahulu.

“Saya harap peminat terus doakan yang baik-baik untuk saya, dan saya juga mendoakan semoga kita semua dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur serta dikelilingi oleh orang yang baik. Itu pun satu bentuk rezeki juga,” katanya.

Elly yang kini lebih dikenali dengan panggilan Kak Lina Pom Pom turut menegaskan bahawa keputusan berhijrah bukanlah penghalang untuk terus aktif dalam bidang seni, sebaliknya satu permulaan baharu dalam kehidupannya.

“Kita buat sahaja sebaik mungkin dan selebihnya serahkan kepada Allah. Insya-Allah ada rezeki untuk kita,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN