Hadiah romantis Taylor Swift buat Travis Kelce - Utusan Malaysia

Hadiah romantis Taylor Swift buat Travis Kelce

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Penyanyi popular antarabangsa, Taylor Swift, mencuri perhatian warganet apabila tampil dengan pelbagai watak baharu dalam muzik video terbaru, The Fate of Ophelia, yang dilancarkan pada Ahad lalu.

Video itu merupakan karya pertama daripada album terbaharunya The Life of a Showgirl yang dilancarkan pada Jumaat lalu, menampilkan konsep dramatik serta sarat dengan simbolik tentang cinta, kehilangan dan kebangkitan diri.

Menariknya, klip tersebut diilhamkan daripada watak Ophelia, kekasih malang dalam karya Shakespeare Hamlet, yang akhirnya menjadi gila dan mati lemas sekali gus menjadikan video ini antara yang paling puitis pernah dihasilkan Swift.

Dalam salah satu babak, penyanyi berusia 35 tahun itu tampil berani dengan gaun unik diperbuat daripada tali serta rambut palsu pendek berwarna perang gelap jauh berbeza daripada imej rambut panjang perang yang sinonim dengannya selama ini.

Turut mencuri perhatian, Swift dilihat menyelitkan beberapa ‘hint’ tentang tunangnya, pemain bola sepak Kebangsaan, Travis Kelce.

Antaranya termasuk adegan ketika dia menangkap bola sepak sambil menyanyi tentang ‘kesetiaan kepada pasukanmu’ serta babak melangkah masuk ke sebuah bilik hotel bernombor 87, nombor jersi ikonik milik Kelce.

Lebih istimewa, video itu dilancarkan bersempena ulang tahun kelahiran Kelce ke-36, menjadikannya seakan hadiah romantik daripada Swift buat tunangnya itu.

Peminat tegar turut beranggapan bahawa kehadiran sekeping foto hitam putih Kelce yang terpampang pada cermin meja solek dalam salah satu babak musik video itu seolah-olah simbol kasih sayang yang diselitkan halus oleh penyanyi itu.

Video bermula dengan babak ikonik yang memaparkan Swift menjelma sebagai Ophelia berbaring dalam air sambil dikelilingi bunga-bungaan, sebelum bangkit dan menukar pelbagai persona baharu.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah gaya Marilyn Monroe dengan rambut perang pendek dan bodis merah bergaya burlesque.

Dalam lirik pra-korusnya, Swift menyanyi, ‘And if you’d never come for me / I might’ve drowned in the melancholy’ menggambarkan bagaimana kehadiran cinta telah menyelamatkannya daripada tenggelam dalam kesedihan.

Dalam pada itu, Swift juga tampil di pentas besar dengan rambut panjang perang gelap berponi seolah-olah meraikan fasa baharu kehidupannya yang lebih yakin dan bebas.

Lagu dan video The Fate of Ophelia dianggap sebagai simbol perjalanan peribadi Swift daripada kesedihan kepada kekuatan sambil menzahirkan rasa terima kasih terhadap cinta yang menyelamatkan dirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN