Filem seram kita juga ada nilai estetika - Aila Azizul

Filem seram kita juga ada nilai estetika – Aila Azizul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun sering dibandingkan dengan karya seberang, pelakon baharu, Aila Azizul berpandangan, filem seram Malaysia mempunyai kekuatan dan jati diri tersendiri yang tidak wajar dilihat sebagai bayangan kepada naskhah dari Indonesia.

Menurut pelakon yang mula mencuri perhatian menerusi siri Generasi Perfect 10 (GP10) itu, perbandingan antara dua industri perlu dilihat dari sudut keunikan dan keaslian budaya masing-masing dan bukannya semata-mata berdasarkan tahap seram atau kesan kejutan yang dipaparkan di layar.

“Saya tak rasa kita perlu lihat filem seram Malaysia dan Indonesia sebagai pertandingan siapa lebih hebat atau lebih menakutkan. Kedua-duanya ada gaya penceritaan dan estetik tersendiri.

“Di Indonesia, mereka ada kecenderungan untuk membawa elemen seram yang lebih berat, lebih dramatik dan berlapis dengan simbolisme agama atau adat.

“Tapi Malaysia pula ada cara tersendiri, kita bercerita dengan jiwa dan akar budaya kita. Kadang-kadang keseraman dalam filem kita lebih halus, lebih dekat dengan kehidupan sebenar orang Malaysia,” katanya ketika ditemui usai program MeleTOP di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini. 

Tambah Aila lagi, filem seram tempatan kini sudah jauh lebih matang berbanding sedekad lalu, terutama dari segi mutu lakonan, pencahayaan, rekaan bunyi serta keberanian pengarah muda yang menafsirkan unsur mistik tempatan dengan cara lebih moden.

“Saya rasa filem seram Malaysia semakin berkembang. Kita bukan lagi sekadar tayang hantu muncul dan menjerit. Sekarang kita dah mula bercerita tentang trauma, emosi, dan hubungan antara manusia. Itu yang menjadikan filem kita unik.

“Seram tak semestinya datang daripada rupa hantu, tapi daripada apa yang kita rasa. Elemen itu ada dalam masyarakat kita dan ia sangat dekat dengan penonton tempatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, meskipun mengakui bahawa  industri tempatan memiliki identiti tersendiri, Aila tidak menolak peluang untuk berlakon di bawah produksi Indonesia sekiranya tawaran itu hadir. 

Baginya, ruang kolaborasi itu tidak wajar dilepaskan demi memperkayakan pengalaman dan bakat.

“Kalau saya dapat peluang bekerjasama dengan produksi Indonesia, saya akan terima dengan hati terbuka. Saya mahu belajar cara kerja mereka, cara mereka menyusun naratif, cara mereka melatih pelakon.

“Apa yang saya belajar itu nanti, saya nak bawa balik ke Malaysia dan kongsi dengan pelakon muda lain. Saya percaya kita dan Indonesia boleh saling belajar, mereka juga boleh belajar daripada kita.

“Secara peribadi, saya suka bila cerita-cerita Asia Tenggara semakin ke hadapan. Dunia mula nampak bahawa karya dari rantau ini juga sarat dengan nilai budaya. Itu sesuatu yang sangat membanggakan,” tambahnya lagi.

Malam Terlarang

Dalam pada itu, berkongsi mengenai filem Malam Terlarang, Aila mengakui ia merupakan penampilan pertamanya di layar perak selepas beberapa tahun aktif dalam dunia pementasan teater. 

Dalam filem arahan Nurhanisham Muhammad itu, Aila memegang watak Safar, kakak kepada Mawar (lakonan Shasha Abdul).

Pelakon muda itu mengakui, peluang berlakon di samping nama-nama besar seperti Zul Ariffin, Sofia Jane, dan Shasha Abdul memberikan pengalaman berharga buatnya.

“Saya datang dari dunia teater, jadi berlakon di hadapan kamera adalah dunia yang sangat berbeza. Dalam teater, kita kekal dalam watak selama dua jam tanpa henti. 

“Tapi di set filem, satu minit saya jadi Safar, minit berikutnya saya jadi Aila semula. Peralihan itu mencabar, tapi saya belajar banyak daripada Kak Sofia Jane dan rakan-rakan pelakon lain,” jelasnya.

Walaupun Malam Terlarang bergenre seram, Aila mengakui dia tidak pernah berdepan gangguan mistik secara langsung sepanjang penggambaran, kecuali sekali ketika terdengar suara perempuan ketawa di lokasi penggambaran.

Namun bagi Aila, pengalaman itu tidak membuatnya takut, sebaliknya mengingatkannya tentang pentingnya menghormati alam ghaib.

“Saya percaya kepada kewujudan jin, tapi saya tak takut sebab saya tahu mereka hidup bersama kita. Kalau kita tunjuk takut, barulah mereka mengganggu. Jadi saya pilih untuk tidak takut, cuma hormat jika kita berada di tempat yang bukan kawasan biasa kita,”katanya. 

Filem seram terbaharu terbitan Astro Shaw bersama Infinitus Gold Sdn. Bhd itu akan mula menemui penonton pada 30 Oktober ini. 

Filem ini mengisahkan Mawar, gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impiannya sebagai wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah, dengan bantuan kakak tirinya, Safar. 

Namun segalanya berubah selepas kematian mengejut dalam keluarga mereka membawa kepada gangguan makhluk misteri yang memaksa Mawar menyiasat rahsia di sebalik tragedi itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN