Dulu artis lelaki dilarang pakai aksesori, baju merah jambu - Utusan Malaysia

Dulu artis lelaki dilarang pakai aksesori, baju merah jambu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA banyak pantang larang menjadi artis, tidak hanya cara pembawakan diri namun juga penampilan. Bercerita lanjut mengenai fesyen, penyanyi dan chef selebriti, Fazley Yaakob mengimbau perbezaan pantang larang yang pernah diberikan kepada artis lelaki suatu masa lalu.

Ketika itu, Fazley masih sangat muda iaitu 17 tahun semasa menjadi seorang artis. Pada era 90-an, fesyen artis lelaki sangat terbatas berbanding wanita. Pilihan pakaian selebriti lelaki sering tertumpu pada warna gelap dan potongan ringkas untuk menampakkan mereka lebih maskulin.

“Saya ingat lagi ada satu sesi fotografi untuk jadi penghias kulit majalah yang ternama, saya sepatutnya pakai baju warna merah jambu sebab mahu ikut konsep dan tema majalah tersebut. 

“Tapi wakil syarikat pengurusan saya halang tak bagi pakai baju merah jambu. Sama juga dengan kejadian agensi model mahu saya berbaju merah jambu, juga dihalang. Hari ini, konotasi terhadap warna-warna terang sudah berubah. 

“Sekarang, lelaki yang pakai merah jambu dilihat sebagai seseorang yang berkeyakinan tinggi, bukan lagi lemah. Perubahan itu datang bersama pemahaman dan peredaran fesyen,” katanya lagi.

Bukan hanya warna baju, malah menurut Fazley atau Ahmad Fadzli Yaakob, 47, artis lelaki juga dilarang mewarnakan rambut atau memakai aksesori seperti gelang.

Dalam pada itu, penyanyi yang mula meledak dengan lagu Asmara Ini itu juga masih ingat artis lelaki perlu sentiasa memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu bau tubuh dan keadaan rambut. 

“Dulu, waktu awal-awal jadi artis, saya ingat lagi banyak perkara yang kami tak boleh lakukan. Saya tidak boleh pakai aksesori sebab lelaki. 

“Tidak boleh pakai warna mencolok atau yang disifatkan feminin seperti merah jambu sebab saya seorang lelaki. Jadi kebanyakan artis lelaki zaman itu nampak sangat membosankan.

 “Dahulu mereka akan minta saya pakai minyak wangi sampai ‘sebakul’. Rambut pula hari-hari kena letak gel untuk nampak basah berkilat,” katanya. 

Bagaimanapun, Fazley yang kini juga berkhidmat sebagai perunding imej korporat juga gembira apabila dunia turut mengalami gelombang perubahan fesyen terutama bagi golongan lelaki. Jika dahulu mereka dilarang mewarnakan rambut, kini penerimaan sudah lebih terbuka. 

“Makin lama dunia fesyen pun berubah. Jadi pihak pengurusan perlu akur dan ikut peredaran fesyen. 

“Daripada perlu pakai minyak wangi sebanyak mungkin, kini saya hanya perlu sembur di pergelangan tangan sahaja. Sama juga dengan rambut, daripada asyik nak nampak basah, saya hanya perlu guna ‘spray’ ringkas sahaja,” katanya.

Tidak hanya soal fesyen, malah artis lelaki pada masa kini juga lebih terbuka untuk melakukan rawatan wajah yang tidak hanya terhad kepada golongan wanita.

“Di Korea, Jepun, Hong Kong, Bollywood, dan Hollywood, artis lelaki juga memakai solekan dan melakukan rawatan wajah. Masyarakat kita suka dan terima dengan baik.

“Artis lelaki kita tidaklah sampai bersolek, tapi kenapa penerimaan kita tak sama? Jadi tidak wajar artis luar dan artis kita dibezakan,” tambahnya.

Kini, Fazley tidak segan mengakui melakukan rawatan wajah setiap minggu apalagi menghampiri usia 50 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN