Kes jenayah: Dari dulu drama atau filem dipersalahkan, kata Zahiril Adzim

Kes jenayah: Dari dulu drama atau filem dipersalahkan, kata Zahiril Adzim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Zahiril Adzim menegaskan dunia seni tidak seharusnya dijadikan sasaran mudah dalam isu peningkatan jenayah dan kemerosotan moral dalam kalangan remaja.

Menurut Zahiril atau nama sebenarnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar, 41, para penggiat seni hanya menzahirkan realiti kehidupan sebenar menerusi karya mereka dan bukannya menjadi punca kepada keruntuhan akhlak generasi muda.

“Sejak sekian lama, drama atau filem sering dianggap penyebab remaja terpesong akhlak. Ini bukan perkara baharu.

“Sejak saya mula berlakon dalam Juvana lagi, pasti ada pihak yang mencari ‘outlet’ untuk dipersalahkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, kelmarin.

Selain itu, jelasnya, karya seni seperti drama dan filem berperanan sebagai cerminan masyarakat yang menampilkan isu-isu sebenar yang berlaku dalam kehidupan seharian.

“Ada beza antara menginspirasi dan mendedahkan. Kami, sebagai penggiat seni, memberi pendedahan tentang apa yang berlaku dalam masyarakat supaya penonton berfikir dan lebih berwaspada.

“Drama berfungsi sebagai cermin kepada masyarakat. Kadang-kadang ada yang tidak tahu perkara seperti itu wujud, dan apabila menonton barulah mereka sedar ‘Oh, begini rupanya’,” ujarnya.

Pelakon filem Pekak itu turut menegaskan, ramai yang gemar menyalahkan industri seni hanya kerana karya yang ditayangkan menggambarkan realiti semasa secara terbuka.

“Saya rasa ada yang bertindak begitu sekadar mahu melepaskan tekanan. Bila berlaku sesuatu kes, mereka mencari pihak untuk dipersalahkan, dan drama dijadikan kambing hitam.

“Sebenarnya, drama tidak hanya tentang hiburan semata-mata. Ia juga satu medium pendedahan sosial yang luas, sama ada kisah cinta, gengsterisme atau isu masyarakat lain,” katanya lagi.

Zahiril dalam masa sama menyeru masyarakat supaya lebih terbuka dalam menilai karya seni dan memahami fungsi sebenar industri hiburan sebagai wadah mendidik serta mencerminkan realiti masyarakat masa kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN