KETIKA memulakan kerjaya lakonan sekitar tujuh tahun lalu, Sophia Albarakbah terpaksa berlapang dada dengan tanggapan orang yang memandangnya sebagai pelakon yang sekadar menjual rupa paras.
Persepsi sedemikian menjadi lumrah yang terpaksa dihadapi pelakon-pelakon rupawan, apatah lagi buat mereka yang sebelum terjun ke dunia lakonan, bergelar peragawati atau ratu cantik.
Anak jati Kuala Lumpur ini bagaimanapun berjaya membuktikan yang dia bukan pelakon yang sekadar menjual rupa. Malah, ramai yang melayangkan pujian terhadap lakonannya dalam filem seram, Tembuni Berdarah arahan Dr. Ahmad Idham.
Sophia memaklumkan dia lega apabila akhirnya, penonton nampak dan menghargai bakat lakonannya selepas bertahun-tahun dia cuba membuktikan perkara itu.
“Inilah yang saya mahukan, orang tidak memandang saya hanya pada rupa paras mahupun cerita-cerita sensasi semata-mata. Lama saya menyimpan harapan ini.
“Betapa gembiranya saya apabila penonton berpuas hati dengan lakonan saya.
“Perkara ini membuatkan saya bersemangat untuk memberikan persembahan yang lebih baik di masa akan datang,” katanya yang ditemui ketika malam gala filem Tembuni Berdarah baru-baru ini.
Sophia dalam pada itu berterima kasih kepada pelakon senior, Khatijah Tan yang memberi tunjuk ajar dan berkongsi ilmu. Katanya, keberkesanan lakonannya dalam filem tersebut banyak dibantu pelakon berpengalaman tersebut.
“Saya terima skrip Tembuni Berdarah ini agak lewat sebenarnya. Penggambaran pula terus dimulakan pada minggu selepas sesi bacaan skrip. Saya akui keadaan itu membuatkan saya terkejar-kejar.
“Yang banyak membantu saya, selain pengarah, adalah Khatijah sebenarnya. Saya selalu minta pandangannya kerana dia bukan sahaja pelakon berpengalaman, tetapi juga antara yang sering menjadi pilihan untuk filem seram,” katanya.
BOSAN DENGAN WATAK PENYONDOL
Sophia tidak menafikan yang dirinya antara mangsa stereotaip kerana sering ditawarkan watak sama sehingga terbit rasa bosan yang menebal dalam dirinya.
Justeru, pelakon berdarah kacukan Melayu, Arab dan Cina ini kini mengambil langkah drastik, tidak lagi membenarkan dirinya menjadi mangsa stereotaip malah lebih tegas menolak watak berulang.
“Saya selalu ditawarkan watak penyondol dalam kisah mengenai isu curang. Saya akui sudah bosan dan tepu dengan watak dan cerita seperti ini.
“Bagaimana kerjaya saya nak berkembang kalau asyik melakonkan watak yang sama? Asyik jadi penyondol dan penggoda sahaja.
“Jadi sekarang ini masanya saya cuba watak yang berbeza, di luar kotak dan lebih mencabar,” katanya.
Dalam pada itu, Sophia juga memaklumkan yang dia tidak akan sewenang-wenangnya bersetuju untuk melakonkan babak keterlaluan yang berpotensi mencemarkan maruah dan nama baik diri dan keluarganya.
“Tentu sekali saya akan tolak babak yang keterlaluan, lebih-lebih lagi yang tidak sesuai ditonton masyarakat umum. Saya tahu batas dan had yang tidak boleh saya langgar,” jelasnya.