KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi popular Indonesia, Tissa Biani mengakui masih belum bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga bersama kekasihnya, pemuzik Dul Jaelani, meskipun hubungan cinta mereka sudah menjangkau lima tahun.
Menurut Tissa, 23, buat masa ini, dia dan Dul yang juga anak kepada Ahmad Dhani itu memilih untuk memberikan tumpuan penuh terhadap karier seni masing-masing.
“Belum masanya untuk saya berkahwin. Bukan kerana usia yang masih muda, tetapi saya dan Dul memang sepakat mahu fokus kepada kerja terlebih dahulu.
“Bukan juga tentang faktor umur yang masih muda tetapi saya dan Dul memang mahu fokus dengan kerja,”katanya.
Tissa atau nama penuhnya Tissa Biani Azzhra menegaskan, dia juga tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan besar membabitkan masa depan apa lagi soal perkahwinan.
“Bagi saya tidak perlu tergesa-gesa. Buat masa sekarang, saya mahu fokus pada filem dan muzik sahaja,” ujarnya ketika ditemui selepas tayangan perdana filem Dilanjutkan Salah Disudahi Perih di TGV KLCC, baru-baru ini.
Ditanya sama ada timbul kebimbangan untuk mendirikan rumah tangga selepas membintangi filem yang mengisahkan kisah perceraian, Tissa menafikan perkara tersebut.
“Pasti setiap manusia punya pengalaman masing-masing. Kalau ini hanyalah sebuah cerita filem dan kalau saya secara peribadi tidak pernah memasukkan apa yang ada di filem ke dalam urusan kehidupan saya.
“Jadi, saya selalu profesional sahaja. Apa diceritakan filem biar menjadi cerita filem. Tidak pernah ada yang saya rasa, oh nanti kalau saya seperti ini bagaimana?”ujarnya.
Filem Dilanjutkan Salah Disudahi Perih edaran Horizon Film Entertainment itu sudah mula ditayangkan sejak 2 Oktober lalu.
Naskhah bergenre komedi drama kekeluargaan ini menampilkan barisan pelakon muda termasuk Kevin Ardilova, Mikha Tambayong, Tissa Biani dan Ibrahim Risyad.