Berat badan susut 15kg, Cik B nafi jalani pembedahan bariatrik - Utusan Malaysia

Berat badan susut 15kg, Cik B nafi jalani pembedahan bariatrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti media sosial, Cik B menafikan dakwaan segelintir netizen kononnya dirinya sudah menjalani pembedahan bariatrik selepas kelihatan semakin susut ketika sedang melakukan sesi live di Tiktok, semalam.

Anak kepada usahawan kosmetik terkenal Datuk Seri Vida itu menegaskan penurunan berat badannya berlaku secara semula jadi dan bukannya hasil prosedur pembedahan.

“Ada yang tanya Cik B buat bariatrik ke? Astaghfirullahalazim, tidak. Kalau awak nak tengok, saya boleh makan burger tiga biji sekali gus sebagai bukti saya tak buat bariatrik.

“Saya sakit tiga bulan pasal buah pinggang saya. Jadi, kenapa saya nak turunkan berat badan? Dalam masa dua bulan, Alhamdulillah saya turun 15 kg.

“Walaupun nampak sedih, bagi saya susut tetap susut, tapi bukan sebab pembedahan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, penyanyi lagu Tolonglah ini berkata, dia menurunkan berat badan bukan kerana fokusnya mahu kelihatan cantik.

“Saya tak kisah pun kalau saya kurus ke, gemuk ke. Apa beza dia? Saya tetap menikmati hidup saya.

“Saya tetap gembira. Saya tak kisah kalau cantik ke tak lawa ke. Saya cuma nak puaskan hati sendiri. Saya dah cukup bangga dengan diri saya.

“Kegembiraan saya adalah makanan. Jadi saya makan sahajalah,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Cik B, pengalaman peribadi yang benar-benar mengubah pandangannya dan menjadi titik tolak untuk menurunkan berat badan adalah ketika dia diuji dengan sakit baru-baru ini.

Kata Cik B, dia masih ingat bagaimana dirinya terpaksa diangkat oleh 10 individu untuk dimasukkan ke dalam sebuah van.

“Bayangkan, 10 orang nak kena angkat saya masuk dalam van. Masa itu saya menangis. Bukan sebab sakit kaki atau apa, tapi sebab sedih, kenapa sampai 10 orang kena angkat saya.

“Kalau bukan keluarga, jiran, atau orang sekeliling, siapa lagi nak tolong? Saya tak nak susahkan orang.

“Hidup jangan susahkan orang, mati pun jangan susahkan orang. Dari situ saya jadi sangat termotivasi untuk ubah diri saya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN