Bapa tiri Amad minta nombor ustaz, Shuib tidak tolak wujud unsur mistik

Bapa tiri Amad minta nombor ustaz, Shuib tidak tolak wujud unsur mistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak dan usahawan terkenal, Shuib Sepahtu menzahirkan rasa simpati terhadap penyanyi remaja, Amad, yang rebah ketika membuat persembahan pada Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam,

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 41, dia menerima panggilan kecemasan daripada bapa tiri Amad, yang dikenali sebagai Idan, ketika siaran langsung program berkenaan sedang berlangsung.

“Sewaktu Auddra membuat persembahan, saya menerima panggilan daripada Idan yang memaklumkan keadaan Amad tidak baik dan bertanyakan mengenai seorang pengamal perubatan Islam yang saya kenali.

“Saya terkejut dan apabila memberitahu isteri, Saerah, dia turut cemas.

“Selesai persembahan Auddra, saya terus ke belakang pentas dan melihat sendiri keadaan Amad yang membuatkan saya berasa sedih dan simpati,” katanya.

Shuib berkata demikian sejurus tamat program TTMM.

Selain itu, Shuib menjelaskan keadaan penyanyi muda itu pada ketika itu agak merisaukan sebelum menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan yang berada di lokasi.

“Apabila saya dan Saerah ke belakang pentas selepas persembahan, kami dapati kasut dan baju Amad sudah dibuka bagi memudahkan pernafasannya.

“Namun, selepas diperiksa pasukan perubatan, kesihatannya disahkan berada dalam keadaan baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shuib tidak menolak kemungkinan kejadian menimpa Amad mempunyai kaitan dengan unsur gangguan mistik.

Ini kerana, katanya, dia sendiri pernah mengalami situasi hampir sama ketika arwah isterinya, Siti Sarah, bertanding dalam program Gegar Vaganza (GV) sebelum ini.

“Saya tidak begitu terkejut kerana tempat ini pernah menyaksikan peristiwa saya mendukung arwah Siti Sarah suatu ketika dahulu.

“Apa pun, saya percaya setiap kejadian ada hikmahnya. Saya harap Amad tidak patah semangat dan terus kuat menempuh ujian,” ujarnya.

Sementara itu, Thalita, 12, turut menzahirkan rasa simpati terhadap Amad selepas melihat sendiri kesungguhan penyanyi muda itu semasa sesi latihan sebelum malam finale.

“Saya kasihan dengannya sebab latihan dia sangat bagus dan vokal dia mantap.

“Selepas persembahan, dia sempat ucap tahniah kepada saya sebelum Uncle Idan bertanya tentang ustaz dan meminta nombor telefon,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN