Ashanty pernah syak Anang Hermansyah seleweng wang syarikat - Utusan Malaysia

Ashanty pernah syak Anang Hermansyah seleweng wang syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Penyanyi dan usahawan terkenal Indonesia, Ashanty, mendedahkan bahawa dia pernah menaruh curiga terhadap suaminya, Anang Hermansyah, selepas mendapati sejumlah besar wang dalam akaun syarikat mereka hilang secara misteri.

Ashanty kini sedang berdepan pertikaian undang-undang dengan bekas pekerjanya, Ayu Chairun Nurisa, yang didakwa menyeleweng dana milik syarikat PT Hijau Dipta Nusantara berjumlah kira-kira Rp2 bilion (RM600,000).

Tidak berpuas hati dengan tuduhan tersebut, Ayu kemudiannya membuat laporan balas terhadap Ashanty atas dakwaan merampas aset dan melakukan akses tidak sah terhadap harta miliknya.

Ayu mendakwa barangan peribadinya telah diambil sebagai jaminan oleh pihak majikannya itu.

Dalam satu sidang media yang diadakan di kawasan Radio Dalam, Jakarta Selatan, semalam, Ashanty menceritakan semula detik awal kegiatan penggelapan wang itu terbongkar pada Mei 2025.

Menurutnya, ketika itu sejumlah Rp800 juta dilaporkan hilang daripada salah satu akaun syarikat dan dua bulan kemudian, kehilangan wang sebanyak Rp500 juta pula dikesan.

Lebih mengejutkan, Ayu yang merupakan pegawai kewangan syarikat mendakwa Anang Hermansyah sebagai individu yang mengambil wang tersebut.

“Dia (Ayu) menuduh bahawa yang mengambil wang itu ialah suami saya. Akhirnya saya bergaduh dengan Anang. Katanya, semua dilakukan atas arahan Anang,” jelas Ashanty.

Penyanyi yang nama sebenarnya Ashanti Hastuti itu mengakui dia pada mulanya mahu menyoal suaminya secara terus, namun membatalkan niat tersebut kerana Anang ketika itu masih dalam keadaan sakit selepas menjalani prosedur penanaman rambut.

Namun, kecurigaan itu berlarutan hingga membuatkan Ashanty hampir hilang kepercayaan terhadap suaminya.

“Dua hari saya tidur bersama dia (Anang), tapi hati saya penuh tanda tanya. Saya sampai terfikir, untuk apa dia guna wang sebanyak itu, adakah untuk pembinaan studio atau tujuan lain?” katanya.

Ashanty mengakui, dia malah sempat terfikir untuk bercerai sekiranya benar Anang terbukti bersalah.

“Saya tidak pernah menyangka Ayu sanggup menyeleweng wang sebanyak itu. Bila semuanya terbongkar, saya terus memohon maaf kepada suami.

“Malam itu saya cium tangan dia dan minta maaf. Dia hairan dan tanya kenapa. Saya kata, kalau betul kamu yang ambil, saya tak sanggup teruskan rumah tangga ini,” tambahnya.

Ashanty menyifatkan insiden itu sebagai pengajaran besar dalam kehidupan berumahtangga dan mendakwa ia akhirnya menjadikan hubungan mereka lebih erat.

Dalam perkembangan terkini, Ashanty memaklumkan akan membuat laporan tambahan terhadap bekas pekerjanya itu, termasuk di bawah kesalahan mencemarkan nama baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN