KUALA LUMPUR: Pelakon, Raja Ilya menegaskan bahawa perceraian bukanlah satu kegagalan, sebaliknya merupakan pilihan yang perlu dibuat dengan penuh pertimbangan terutama bagi mereka yang berdepan penderaan fizikal atau mental dalam rumah tangga.
Menurut Raja Ilya, setiap pasangan perlu realistik dalam menghadapi cabaran selepas mendirikan rumah tangga.
Raja Ilya berkata ia terutamanya apabila pasangan melalui fasa selepas kelahiran anak pertama yang dianggap sebagai tempoh paling mencabar bagi suami isteri.
“Kadangkala pengakhiran juga adalah satu jawapan, terutama bagi mereka yang dizalimi secara fizikal atau mental.
“Namun jika kita memilih untuk terus berjuang mempertahankan perkahwinan, perlu diakui fasa selepas mendapat anak pertama bukan sesuatu yang mudah,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya, semalam.
Raja Ilya turut menegur sikap segelintir wanita yang meletakkan harapan terlalu tinggi kepada pasangan, sehingga kebahagiaan diri bergantung sepenuhnya kepada suami.
“Wanita sering mempunyai jangkaan tinggi terhadap lelaki. Kita harap mereka memahami, membantu dan peka.
“Tetapi apabila seluruh kebahagiaan disandarkan kepada satu individu, pasti akan datang rasa sakit dan kecewa,” ujarnya.
Tambahnya lagi, lelaki dan wanita merupakan dua makhluk berbeza dengan cara berfikir, menzahirkan kasih sayang dan menghadapi tekanan yang tidak sama.
Berikutan itu, katanya, salah faham, tindakan berdiam diri dan rasa tidak dihargai adalah lumrah dalam perkahwinan.
“Perkahwinan bukan tentang cinta yang sempurna, tetapi tentang kekuatan dua insan untuk terus berdiri walaupun cinta itu tidak terasa sekuat dahulu,” jelasnya.
Mengulas lanjut, pelakon itu mengakui bahawa rasa bersalah sering timbul selepas pertengkaran atau perpisahan berlaku.
Bagaimanapun, setiap individu harus menasihati pasangan agar belajar untuk memperlahankan keadaan, meminta maaf dan mengelak daripada mengulangi kesilapan yang sama.
Sebagai individu yang membesar dalam keluarga berpecah, kata Raja Ilya, dia menekankan kepentingan supaya kedua-dua ibu bapa berada di bawah satu bumbung demi kesejahteraan mental dan emosi anak-anak.
“Percayalah, anak-anak memerlukan kedua-dua ibu bapa jika hubungan itu masih boleh diperbaiki. Apa yang mereka lihat di rumah akan membentuk masa depan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, dia turut menegaskan bahawa dalam perkahwinan tiada yang betul atau salah sepenuhnya, kerana kedua-dua pihak mempunyai cabaran tersendiri.
“Wanita berjuang dengan hormon, keletihan dan tekanan selepas bersalin, manakala lelaki pula berperanan sebagai pelindung dan pencari nafkah. Tiada siapa yang sempurna.
“Apa yang menjadikan perkahwinan itu kukuh adalah kejujuran, usaha, tolak ansur dan ingatan kepada asas sebenar kehidupan,” katanya lagi.










