Apa yang berlaku terhadap Amad di luar jangkaan - Astro - Utusan Malaysia

Apa yang berlaku terhadap Amad di luar jangkaan – Astro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, memaklumkan, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung insiden membabitkan peserta program realiti Talk To My Manager (TTMM), Amad, yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan secara tiba-tiba ketika membuat persembahan di pentas akhir program berkenaan semalam.

Menurut Raqim, keadaan Amad kini bagaimanapun berada dalam keadaan stabil selepas mendapat pemeriksaan daripada pasukan perubatan yang bertugas di lokasi.

“Kondisinya sekarang okey. Kita dah periksa dengan pasukan perubatan yang disediakan, semua vital dia normal. Dari segi kesihatan, dia tidak ada apa-apa masalah seperti yang telah disahkan oleh pasukan perubatan.

“Sebelum persembahan, mungkin dia mengalami sedikit ketidakselesaan, namun secara keseluruhan dia tidak demam atau menunjukkan tanda-tanda tidak sihat,” katanya ketika ditemui selepas siaran langsung konsert akhir TTMM di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, semalam.

Selain itu, Raqim turut menjelaskan bahawa insiden itu berlaku secara mengejut dan pihak produksi mengambil langkah segera dengan menukarkannya kepada segmen iklan untuk memberi ruang pasukan perubatan memeriksa keadaan Amad.

“Kalau anda lihat, kita terpaksa pergi ke segmen iklan separuh jalan kerana mahu pastikan Amad betul-betul okey.

“Selepas berbincang dengan pengurusnya iaitu Siti Saerah dan Amad sendiri, kita serahkan keputusan kepada mereka sama ada mahu meneruskan atau tidak.

“Jadi apa yang dia berusaha lakukan meskipun dalam keadaan begitu, itulah apa yang anda saksikan,”katanya.

Tambah Raqim, kesihatan peserta dan seluruh tenaga kerja produksi menjadi keutamaan utama pihak Astro dan langkah-langkah keselamatan serta kesihatan sentiasa dititikberatkan dalam setiap penganjuran program.

“Kesihatan peserta memang kami utamakan. Minggu lepas pun bila Talitha tidak sihat, kita tak paksa dia buat persembahan.

“Kita belajar banyak perkara selepas pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, jadi keselamatan semua kru, artis dan penonton amat penting bagi kami.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku kepada Amad memang di luar jangkaan, kita pun masih menyiasat dan belum tahu punca sebenar. Yang penting, selepas konsert tamat, dia kelihatan semakin pulih dan sudah dibenarkan pulang,” katanya.

Dalam pada itu, Raqim turut mengesahkan bahawa Astro telah pun mempunyai perancangan untuk meneruskan program TTMM bagi musim akan datang, susulan sambutan positif yang diterima daripada penonton serta golongan selebriti sendiri.

“Insya-Allah, memang kita dah ada perancangan untuk musim seterusnya. Ramai selebriti sudah menawarkan diri untuk turut serta.

“Musim pertama ini memang mencabar sebab ramai belum faham konsepnya, tapi kami gembira melihat hubungan kekeluargaan dan semangat kerjasama yang terjalin antara pengurus dan artis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN