KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein, 44, tidak menolak, ada pihak kurang gemar dengan gaya pemakaian tudungnya sejak dia mula menggenakan imej tersebut baru-baru ini.
Bagaimanapun, Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, dia menerima baik semua pendapat berhubung penampilannya sekarang.
“Ramai beri sokongan pada saya, terima kasih dan saya amat hargai. Ada juga yang minta saya tukar gaya tudung.
“Saya terima semua pendapat dan menghargai. Tetapi keputusan saya muktamad, saya akan pakai tudung cara yang saya pakai sekarang ini.
“Selesa sangat, terima kasih,”katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Elly mula tampil dengan imej bertudung di Konsert Akhir Kilauan Emas 2025 yang diadakan di Shah Alam, minggu lalu.
Penyanyi lagu Janji Kekasih dan Sabarlah Hati ini memberitahu, keputusan tersebut lahir daripada keikhlasan hatinya sendiri tanpa sebarang paksaan.
Malah, ia juga kerana dia tersentuh melihat perjuangan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.