KUALA LUMPUR: Universal Music Malaysia (UM) sekali lagi mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri muzik tanah air apabila meraih 10 trofi pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), hasil kerjasama strategik bersama Faithful Music.
Antara kejayaan utama yang dicatatkan ialah kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik menerusi lagu Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda), Kulit Single/Album Terbaik untuk Iman (Irfan Ramos) dan Rakaman Lagu Terbaik menerusi Aura (John Jeeves).
Tidak cuma itu, Universal Music Malaysia juga meraih trofi untuk kategori Album Terbaik bagi Belagu II (terbitan Aubrey Suwito – edaran UM) serta Lagu Paling Tinggi Distrim menerusi Masing-Masing.
Lebih manis, album Belagu II nyanyian Dayang Nurfaizah turut meraih hadiah utama, Dana Kandungan Digital (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures bernilai RM200,000.
AIM24 juga menyaksikan penghargaan tertinggi diberikan kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menerima Anugerah Sri Wirama atas sumbangan lebih tiga dekad dalam dunia muzik.
Siti turut bekerjasama dengan UM melalui syarikat miliknya, SN Legacy.
Pengarah Urusan UM, Kim Lim, menegaskan kejayaan itu mencerminkan usaha konsisten syarikat dalam melahirkan bakat tempatan.
“Kejayaan ini bukti dedikasi dan komitmen kami dalam membentuk serta mengembangkan bakat muzik tempatan agar lebih menyerlah di persada antarabangsa,” katanya.
Penyanyi Ernie Zakri, yang membawa pulang dua trofi AIM24, meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut.
“Kemenangan ini amat bermakna, bukan hanya buat saya tetapi seluruh pasukan kreatif. Ia bukti muzik Malaysia mampu menembusi pasaran serantau,” katanya.
Majlis gilang-gemilang itu turut diserikan dengan persembahan artis UM dari Malaysia dan Nusantara, antaranya pembukaan bertenaga oleh kumpulan DOLLA bersama Tobii (Def Jam Thailand), kolaborasi Ernie Zakri dengan Anggi Marito (Universal Music Indonesia) serta persembahan penuh emosi Ernie bersama Ade Govinda (MyMusic Records).
Dalam pada itu, Faizal Tahir turut gah apabila membawa pulang empat trofi AIM24 menerusi kategori Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik (Campak Bintang bersama Datuk M. Nasir), Lagu Nasyid Terbaik (Biar Satu Dunia Tahu bersama Mirwana), Lagu Perpaduan Terbaik (Bendera), serta Lagu Dengan Hasilan Video Tertinggi di TikTok (Santai).
Faizal turut menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan yang diraih tersebut.
“Muzik adalah medium untuk menyampaikan mesej yang bermanfaat. Saya harap kejayaan ini jadi inspirasi kepada generasi baru. Berkaryalah dengan keyakinan dan tujuan,” katanya.
AIM24 turut mencipta detik manis apabila bakat baharu seperti Hanis Rafi, Iqie Hugh, Glowrush, Fahimi dan Firdaus Rahmat buat julung kali diraikan di pentas anugerah berprestij itu.