KUALA LUMPUR: Pelakon muda, Erysha Emyra menafikan wujud perselisihan faham dengan rakan seangkatannya, Qasrina Karim seperti yang didakwa segelintir pihak di media sosial.
Menurut Erysha atau nama penuhnya, Nur Erysha Emyra Zakaria, 25, hubungannya bersama aktres berkenaan masih baik dan tiada sebarang isu berbangkit.
“Saya tidak mahu ulas panjang kerana ia terlalu peribadi untuk dikongsikan. Hubungan kami sebenarnya baik sahaja, tiada istilah bermasam muka.
“Sebelum ini, kami pernah berjumpa di beberapa majlis dan masih lagi berhubung,” katanya.
Mengulas lanjut, Erysha yang juga teraju utama drama tersebut menegaskan, dia tidak mempunyai masalah sekiranya digandingkan dengan Qasrina pada masa hadapan.
“Bagi saya, isu yang timbul ini bukanlah sesuatu yang besar. Saya yakin ramai juga pernah melalui situasi sama, cuma bezanya kami jadi perhatian kerana dikenali.
“Kami sebenarnya tidak mempunyai apa-apa masalah. Saya percaya Qasrina juga baik-baik sahaja dengan saya,” ujarnya.
Sebelum ini, timbul spekulasi hubungan dingin antara kedua-dua aktres itu apabila mereka didakwa tidak lagi saling mengikuti di Instagram, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.