Terima teguran, sedar diri bukan baik sangat - Liyana Jasmay - Utusan Malaysia

Terima teguran, sedar diri bukan baik sangat – Liyana Jasmay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay, mengakui berterima kasih dengan teguran warganet berhubung beberapa perkongsiannya di Instagram yang memaparkan dirinya berpakaian seksi.

Menurut Liyana, 37, segala nasihat yang baik akan dijadikan panduan untuk memperbaiki diri pada masa akan datang dan dia juga menerima segala teguran itu dengan hati terbuka.

“Netizen berhak untuk meninggalkan komen dan saya akui apa yang mereka katakan itu benar, tidak sepatutnya berpakaian seksi.

“Saya tidak pernah membalas komen dengan menyuruh mereka berhenti kacau hidup saya atau sebagainya.

“Semua nasihat dan kecaman yang diberikan saya terima kerana saya sedar diri ini pun bukannya baik sangat.

Liyana berkata demikian ketika ditemui pada acara Viu Royal Night yang berlangsung di W Factory, Shah Alam, semalam.

Selain itu,Liyana mengakui dirinya sememangnya seorang yang gemar berpakaian seksi, namun sebelum ini jarang berkongsi kepada pengikutnya di media sosial.

“Saya memang selalu berpakaian begitu, cuma mungkin tidak diketahui ramai. Seluar pendek memang saya pakai, cuma tidak dimuat naik ke media sosial.

“Baru-baru ini apabila saya kongsikan di Instagram, perkara itu terus jadi isu,” jelasnya.

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai tindakan seorang penyanyi baharu yang mengambil keputusan menanggalkan tudung, Liyana enggan mengulas panjang.

Sebaliknya, dia menitipkan doa agar penyanyi tersebut terus diberi kekuatan.

“Saya tidak berhak menilai seseorang kerana saya sendiri pun tidak tahu apa yang dia lalui. Saya hanya doakan dia terus bersabar dan kuat. Lagipun dia masih muda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN