KUALA LUMPUR: Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana, mengakui, sepanjang menyertai Misi Global Sumud Flotilla ke Palestin, dia jarang berhubung secara panggilan video dengan keluarganya di tanah air.
Menurut Zizi, keputusan itu dibuat kerana tidak sanggup melihat ahli keluarganya menangis setiap kali mereka berhubung, lebih-lebih lagi ibunya.
“Sepanjang pelayaran ini saya jarang VC (panggilan video) dengan keluarga. Saya tak nak mereka sedih sebab setiap kali VC, mereka menangis.
“Saya pula tak boleh tahan kalau macam itu. Terutama kalau mak saya nangis, luluhlah jiwa pahlawan saya. Tapi Alhamdulillah, Allah jaga kami semua di sini,” tulisnya di media sosial.
Tambahnya, dia juga bersyukur kerana masih mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong perjuangannya.
Katanya, keadaan itu berbeza dengan nasib rakyat Gaza yang ramai kehilangan insan tersayang akibat serangan rejim Zionis.
Selain itu, Zizi turut mengingatkan orang ramai agar tidak berhenti berdoa dan terus menyebarkan maklumat mengenai perjuangan rakyat Palestin.
“Kita kena sama-sama kuat demi saudara kita di Palestin, Insya-Allah. Jazakumullahu Khairan dan terima kasih buat kalian yang sentiasa bantu kongsi tentang Gaza.
“Semoga Allah balas dengan segala kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zizi turut menyeru pengikut di media sosial supaya membantu meningkatkan kesedaran mengenai misi tersebut dengan mengajak artis dan pempengaruh lain sama-sama menyebarkan mesej solidariti.
“Siapa yang tengok live TikTok saya semalam, saya ada bagi tugasan tahu. Tugas dia mudah, anda spam banyak-banyak kepada artis atau pempengaruh yang anda suka, kongsikan tentang Misi Global Sumud Flotilla ini.
“Ajak merek buat kesedaran tentang Gaza yang tengah dihentam habis-habisan oleh rejim Israel. Boleh kan?” pintanya.
Sebelum ini, Zizi antara artis tempatan yang berani menyertai misi kemanusiaan berisiko tinggi ke Palestin melalui Misi Global Sumud Flotilla.
Isnin lalu juga, isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu memaklumkan kapal yang dinaikinya telah memulakan kembali pelayaran menuju Gaza.
Perjalanan dari Tunisia itu dijangka memakan masa selama 10 hingga 14 hari.










