Tekanan dunia glamor, artis juga perlu sokongan masyarakat - Utusan Malaysia

Tekanan dunia glamor, artis juga perlu sokongan masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kehidupan mewah dan glamor artis yang sering dipaparkan di media bukanlah jaminan kepada kesejahteraan mental mereka, sebaliknya boleh menjadi punca tekanan emosi yang serius.

Perkara itu diakui oleh pakar psikologi klinikal, Liana Mohd Nawi yang juga Pengarah Perkhidmatan Klinikal Thrive Well.

Menurut Liana, masalah kesihatan mental di kalangan artis semakin ketara ekoran tekanan jadual kerja yang panjang, kurangnya privasi, kecaman di media sosial serta persaingan sengit dalam industri hiburan.

“Ramai artis juga terpaksa menanggung beban kewangan dan harapan keluarga. Keadaan ini menambah lagi tekanan emosi hingga ada yang mengalami keletihan kronik, gangguan tidur dan akhirnya burnout,” katanya.

Liana menjelaskan, meskipun kerjaya sebagai artis sering dikaitkan dengan kemewahan, perhatian dan peluang besar, ia datang dengan kos tersembunyi yang membebankan jiwa.

“Setiap gerak geri artis diperhatikan. Mereka ditekan untuk sentiasa kelihatan sempurna, sedangkan hakikatnya mereka juga manusia biasa yang perlukan ruang peribadi dan hubungan emosi yang tulen,” jelasnya.

Beliau turut menambah, kejayaan dan populariti tidak semestinya menjamin kebahagiaan kerana ada kalanya ia menjadi beban apabila artis terpaksa berdepan dengan harapan tinggi daripada peminat, media, keluarga serta industri.

“Apabila populariti menurun atau timbul kritikan, ada artis yang mudah terkesan sehingga menjejaskan kestabilan emosi mereka.

“Media perlu lebih bertanggungjawab. Jangan menjadikan isu kesihatan mental artis sebagai bahan gosip. Sebaliknya, laporkan dengan empati, fakta dan sokongan. Artis juga wajar diberi akses mudah kepada psikologis, kaunselor atau psikiatris,” ujarnya.

Mengulas mengenai imej sempurna yang sering dikaitkan dengan dunia hiburan, Liana berkata tekanan itu memang wujud, namun kini semakin ramai artis berani menunjukkan sisi manusiawi mereka.

“Langkah ini mendidik masyarakat bahawa tiada imej yang benar-benar sempurna, dan ia boleh membantu mewujudkan industri hiburan yang lebih sihat,” katanya.

Sementara itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani IDEAL bersama Thrive Well baru-baru ini.

Menurut Pengasas IDEAL, Dr. Faizi Rosli, kerjasama ini bertujuan menawarkan program kesejahteraan menyeluruh yang merangkumi aspek fizikal dan psikologi untuk warga korporat.
 
“Inisiatif ini dijangka mampu mengurangkan ketidakhadiran pekerja, mencegah keletihan melampau (burnout), serta meningkatkan produktiviti tenaga kerja di seluruh Malaysia.
 
“Pekerja yang sihat adalah tulang belakang sesebuah organisasi yang berjaya. Kerjasama ini diwujudkan kerana saya percaya gabungan kepakaran kedua-dua pihak dapat membantu pekerja korporat menguruskan tekanan kerja dengan lebih berkesan,” katanya.
 
Pengarah Urusan Thrive Well, Ellisha Othman, pula menegaskan bahawa kesihatan yang sempurna tidak hanya merangkumi fizikal semata-mata, tetapi juga memerlukan kesejahteraan mental yang baik.
 
“Syarikat-syarikat korporat perlu lebih peka dalam menguruskan kesejahteraan pekerja agar organisasi dapat berkembang dalam suasana kerja yang positif.
 
“Mereka yang melabur dalam program kesejahteraan fizikal dan mental pekerja secara tidak langsung akan lebih bersedia menghadapi cabaran perniagaan, khususnya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu,” ujarnya.
 
Majlis menandatangani MoU ini turut disaksikan oleh wakil-wakil daripada syarikat korporat ternama termasuk PETRONAS, DELEUM, KUB Holdings, Gadros Holdings, dan Energise Sdn. Bhd.
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN