KUALA LUMPUR: Selebriti dan pempengaruh terkemuka, Sofyank, menganggap peluang bekerjasama dan menghasilkan video untuk Proton merupakan satu pengalaman berharga buat dirinya.
Menurut Sofyank atau nama sebenarnya, Muhammad Sofian Abdullah, pengalaman itu juga menyuntik perasaan bangga kepadanya sebagai anak Malaysia.
“Bagi saya, pengalaman kali ini juga menjadi pengalaman yang sangat menarik, terima kasih kepada Proton terutamanya kerana percayakan hasil karya kami untuk jadi salah satu platform untuk kita ketengahkan produk mereka.
“Saga memang antara kereta buatan tempatan yang paling ikonik dan bertaraf legenda sejak saya kecil lagi,” ujar anak muda kelahiran Kelantan ini.
Selain itu, kata Sofyank yang Juara Ultimate VFX Challenge Dunia 2023, dia juga berdepan dengan cabaran tersendiri semasa menghasilkan video tersebut.
“Cabaran utama untuk video kali ini adalah untuk mendapatkan visual yang realistik untuk model kereta Saga 3D yang tersedia ada. 2 minggu sebelum shooting, kami ke lokasi shooting dan mengambil beberapa contoh video untuk saya cuba masukkan model kereta saga 3D ke dalam footage yang kami tangkap.
“Saya mencuba beberapa cara berbeza untuk dapatkan tekstur, pencahayaan dan refleksi yang paling dekat dengan model kereta sebenar.
“Alhamdulillah hasil preshoot tersebut banyak membantu saya untuk mendapatkan look dan visual kereta 3D tersebut paling hampir dengan kereta Saga yang asal. Alhamdulillah saya gembira dan sangat berpuas hati setelah melihat respon dan komen positif daripada semua orang,”katanya.
Selain itu, Sofyank turut menuai perhatian ramai menerusi kapsyen yang ditulisnya di hantaran Instagram.
“Masa zaman Saga dikeluarkan dulu, saya belum lahir lagi. Alhamdulillah sekarang dah ada anak sendiri, Saga masih megah di jalan raya. Selamat Hari Merdeka!”tulisnya.
Menariknya mengenai penghasilan video tersebut, kata Sofyank, kereta Saga generasi pertama yang dipaparkan dalam video itu adalah milik Allahyarham Ariffin Hew, seorang peminat tegar Proton.
“Pada 2024, keluarga Allahyarham menyerahkan kembali kereta tersebut kepada ibu pejabat Proton agar ia dapat dipelihara sebagai warisan sejarah negara.
“Menurut ahli keluarga tuan milik tersebut, penyerahan ini dilakukan untuk memenuhi hasrat Allahyarham agar legasi nasional ini dapat terus dihargai oleh generasi masa depan,”katanya.
Difahamkan, kenderaan tersebut kini dipamerkan di Proton Centre of Excellence di Shah Alam yang menjadi simbol perjalanan empat dekad industri automotif tempatan.
Empat puluh tahun selepas pelancarannya, Proton Saga kekal menjadi antara pilihan utama pengguna tempatan.
Sejak iklan tersebut dimuat naik di media sosial, ia telah meraih lebih 300,000 tontonan, sekali lagi membangkitkan rasa bangga dan penghargaan rakyat terhadap kereta nasional yang terus dekat di hati Malaysia.
Terdahulu, sempena ambang sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, Proton meraikan ulang tahun ke-40 model ikoniknya, ProtonSaga, dengan sebuah video khas yang menyentuh hati, hasil kolaborasi bersama Sofyank.
Saga, yang pertama kali dilancarkan pada 1985, bukan sekadar kenderaan nasional pertama Malaysia, ia adalah simbol kemajuan, impian dan usaha kolektif rakyat, yang sejak empat dekad lalu kekal menjadi sebahagian daripada kisah perjalanan kehidupan jutaan keluarga di seluruh negara.
Video yang kini boleh ditonton di Instagram Sofyank membawa penonton mengimbau transformasi dan evolusi Saga daripada model asal yang menjadi pelopor industri automotif negara, hingga ke model moden yang terus megah di jalan raya Malaysia.
Dihasilkan dengan sentuhan kreatif dan teknologi grafik (GFX) bertaraf antarabangsa, iklan ini menampilkan gabungan warisan lama dan kemajuan teknologi yang mengangkat semula memori generasi terdahulu.