KUALA LUMPUR :Sekolah Afwa Al Afiyah di Gaza yang dibangunkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, musnah dibedil rejim Zionis semalam.
Perkara itu disahkan wakil Yayasan Nurjiwa di Palestin, Dr. Mohanad Kullab, yang memaklumkan bahawa keluarga besar sekolah tersebut telah dipindahkan ke kawasan selatan Gaza bagi mendapatkan perlindungan.
Ini kerana bangunan sekolah Afwa Al Afiyah, yang diasaskan melalui Yayasan Nurjiwa sejak Oktober 2021 itu tidak lagi dapat digunakan berikutan serangan udara berterusan di wilayah berkenaan.
“Sekolah Afwa dan Afiyah telah musnah dibedil bom. Namun, kami tidak akan berputus asa.
“Keyakinan kami tetap tinggi bahawa suatu hari nanti, kita akan bangkit semula,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Sementara itu, Siti Nurhaliza turut meluahkan rasa sebak di media sosialnya, namun tetap reda menerima ujian berkenaan.
“Sekolah ini dibina dengan harapan memberi cahaya kepada anak-anak Gaza menimba ilmu. Walaupun ia kini musnah, doa saya agar kita tidak pernah berputus harapan.
“Insya-Allah akan ada jalan untuk bangkit semula,” katanya.
Dalam pada itu, Yayasan Nurjiwa menyeru rakyat Malaysia supaya tidak berhenti mendoakan keselamatan rakyat Palestin serta terus menyokong usaha kemanusiaan yang dilaksanakan demi masa depan anak-anak Gaza.