PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri, memilih untuk tidak memanjangkan isu berhubung kekeliruan kemenangan lagu Masing-Masing dalam kategori Lagu Strim Terbanyak Malaysia di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Menurut Ernie, 32, keputusan dibuat oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selepas semua pencalonan diteliti mengikut syarat ditetapkan.
“Saya hanya menghantar lagu yang layak. Kalau ada persoalan, lebih baik rujuk terus kepada pihak RIM, apa yang penting saya hormati keputusan mereka.
“Bagi saya, bukan semua karya saya juga boleh dicalonkan kerana ada syarat tertentu. Malah album saya sendiri ada produk dari Indonesia, jadi tidak semua kategori boleh saya sertai.
“Saya pun rasa tidak perlu untuk memanjangkan isu ini kerana ia bukan datang daripada pihak saya,” ujarnya.
Terdahulu, penyanyi Yuji dan Iman Syakir meluahkan rasa tidak puas hati apabila lagu Old Love diketepikan walaupun strimnya dilihat lebih tinggi.
Bagaimana pun, semakan menunjukkan Masing-Masing mencatat lebih 200 juta strim di Spotify dan lebih 620 juta strim keseluruhan, sekali gus mengesahkan kemenangan.
Lagu itu turut meraih trofi Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik.
Sementara itu, Old Love hanya berjaya berada dalam Top 5 Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, yang dimenangi Daiyan Trisha menerusi My Home Is In Your Arms.
RIM menjelaskan, pemenang kategori teknikal AIM ditentukan sepenuhnya melalui data rasmi.
Old Love tidak tersenarai dalam carta rasmi kerana isu teknikal membabitkan pendaftaran kod pengenalan lagu (ISRC).