KUALA LUMPUR: Pelakon, Fauzi Nawawi yang juga duta rasmi jenama cermin mata XROOV, meluahkan rasa terkilan dengan layanan yang diterimanya ketika menyertai acara RX-Z Members di Stadium Gong Badak, Terengganu, pada 22 dan 23 Ogos lalu.
Fauzi berkata, ketiadaan pengumuman rasmi mengenai kehadirannya menyebabkan ramai peminat yang datang dari jauh berasa kecewa kerana gagal bertemu dengannya.
“Saya tidak minta naik pentas, cukup sekadar umumkan lokasi saya di reruai supaya peminat tahu. Ada yang datang dari Sabah dan Sarawak, tetapi pulang hampa. Itu yang buat saya sedih,” katanya pada sidang akhbar khas yang diadakan bersama pihak XROOV, kelmarin.
Menurutnya lagi, keadaan sesak dan gangguan liputan telefon di lokasi turut menyukarkan peminat menghubunginya.
“Saya bukan mahu disanjung, cuma sedikit penghargaan sudah memadai. Hanya sebut nama saya pun tidak sampai seminit. Harap selepas ini penganjur lebih profesional,” tegasnya.
Sementara itu, pengasas XROOV, Rusydina Norman turut menyuarakan rasa kesal apabila hak eksklusif syarikatnya yang dipersetujui dalam perjanjian telah dicabuli oleh pihak penganjur sendiri.
“Dalam perjanjian, hanya XROOV diberi hak eksklusif. Tetapi ketika acara berlangsung, ada penganjur memakai cermin mata jenama lain di pentas besar. Tindakan itu mencalar imej kami,” jelasnya.
Beliau berkata, kerjasama yang sepatutnya melonjakkan jualan sehingga 3,000 unit cermin mata juga gagal mencapai sasaran kerana promosi tidak dijalankan seperti dipersetujui, sekali gus menyebabkan syarikat mengalami kerugian besar.
Dalam pada itu, Rusydina mengumumkan keputusan XROOV menarik diri daripada penajaan acara Event 125Z selepas mendapati pihak penganjur lebih mementingkan keuntungan kewangan berbanding semangat kolaborasi.
“Kami tarik diri kerana mereka hanya mahukan wang. Selepas perjanjian dimeterai dan logo perdagangan disiapkan, mereka pula membatalkan. Kalau kerjasama tidak dihargai, saya tidak boleh teruskan,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya turut mengalami kerugian apabila stok cermin mata penajaan tidak dipulangkan sepenuhnya, dengan sembilan pasang masih belum dikembalikan sehingga kini.
Rusydina juga mendakwa menjadi mangsa fitnah di media sosial apabila seorang penganjur memuat naik kenyataan yang menjatuhkan reputasinya sebagai optician di laman Facebook Ashwan Racing.
“Dia perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kerana kenyataan itu merosakkan imej saya dan menyebabkan kehilangan branding,” katanya lagi.
XROOV menegaskan, dua isu utama yang dibangkitkan ialah produk penajaan yang gagal dipulangkan serta penyebaran fitnah di media sosial, sebelum akhirnya memutuskan untuk menarik diri sepenuhnya daripada kolaborasi berkenaan.