PETALING JAYA: Penyanyi pop sensasi, Sabrina Carpenter, melakar sejarah apabila album terbarunya Man’s Best Friend terus menduduki tangga pertama carta album rasmi UK.
Ia sekali gus mencatatkan minggu pembukaan terbesar bagi artis antarabangsa pada tahun 2025 setakat ini.
Dengan jualan sebanyak 85,500 unit dalam tujuh hari pertama, album ketujuh Sabrina mengatasi rekod terbaik tahun ini.
Man’s Best Friend turut menduduki tangga teratas dalam Carta Album Vinyl Rasmi, menjadikan ianya rekod paling popular dalam format piring hitam minggu ini.
Album ini merupakan salah satu daripada tiga album Sabrina yang berada dalam senarai 40 teratas minggu ini.
Short n’ Sweet, album rasmi terbesar tahun 2025 setakat ini, naik lima anak tangga (ke lapan).
Manakala album tahun 2023 Emails I Can’t Send mencapai kemuncak baharu apabila melonjak 113 tangga (ke-21).