KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Rezza Shah, tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa dirinya pernah menjadi mangsa gangguan seksual secara lisan oleh individu yang juga merupakan bekas pengurusnya.
Menurut Rezza, kejadian itu berlaku ketika dia masih aktif di awal kerjaya dan terikat dengan beberapa tawaran kerja yang memerlukan komitmen penuh.
Situasi tersebut katanya, menyebabkan dia mengambil pendekatan berdiam diri pada awalnya.
“Bila saya dah ada masalah macam itu, dia macam buat gangguan seksual lah. Teruklah. Masa tu saya fikir kerja sebab banyak lagi job tergendala.
“Jadi saya bagi muka, tapi bila dia mula berlebihan, saya tegur,” katanya di podcast Bukak Mulut.
Tambah Rezza lagi, tindakan pengurus tersebut yang sering menunjukkan tingkah laku tidak wajar, termasuk mengeluarkan kata-kata berbaur seksual, membuatkan dirinya berasa tidak selesa dan bimbang dengan pandangan orang sekeliling.
“Setahu saya pengurus dengan artis bukan macam ini. Hal ini dah berlebihan. Pandangan orang jadi pelik, mereka fikir saya pun macam ada sesuatu.
“Saya tegur dia jangan macam ini. Kita ini kerja. Jangan buat aku jadi macam kau punya ‘anak ikan’,”katanya.
Selain itu, meskipun menyedari perkara itu serius, Rezza mengakui tidak membuat laporan rasmi kerana beranggapan ia hanya melibatkan hubungan profesional antara dirinya dan pengurus tersebut.
“Saya tak buat laporan sebab fikir itu antara saya dengan dia sahaja. Tapi lama-kelamaan, bila dia mula ‘mengedik’, saya memang rasa tak selesa,”katanya.
Sehubungan itu, Rezza berharap agar artis-artis lain lebih berhati-hati dan berani bersuara sekiranya berdepan situasi yang sama agar tidak terus menjadi mangsa salah laku pihak tidak bertanggungjawab.