Ramai pandang rendah, pencipta bahan kandungan TikTok juga boleh berjaya - Utusan Malaysia

Ramai pandang rendah, pencipta bahan kandungan TikTok juga boleh berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG : Penyanyi dan pempengaruh media sosial, Syafiq Sahli bersama rakan kolaborasinya, Boss Wan, menepis tanggapan segelintir pihak bahawa bergelar pencipta kandungan TikTok tidak mampu memberikan masa depan yang cerah.

Menurut Boss Wan yang juga bekas peserta program Raise The Star di Astro, ramai masih memandang rendah platform berkenaan dengan beranggapan usaha mereka itu tidak ke mana sedangkan hakikatnya bidang hiburan di media sosial adalah sebuah industri bernilai tinggi.

“Kalau ia tidak menjana pendapatan, sudah tentu kami tidak akan serius melabur masa dan tenaga. Untuk menghasilkan kandungan, modal yang diperlukan juga bukan sedikit.

“Sebagai contoh, bahan kandungan penerokaan paranormal memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 bagi jelajah seluruh Malaysia.

“Kami juga ada perancangan untuk ke Jepun khususnya di Hutan Aokigahara yang mana kos keseluruhan boleh mencecah RM100,000,” katanya.

Boss Wan berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani pelantikannya dan Syafiq Sahli sebagai duta Empire Reka cawangan Klang, baru-baru ini.

Selain itu, Syafiq pula berkata, walaupun masyarakat hanya melihat aktiviti penstriman langsung sebagai hiburan, ramai tidak menyedari kos besar di sebaliknya.

“Malah hasil daripada ‘gift’ TikTok hanya mampu menampung kira-kira 40 peratus sahaja. Selebihnya, kami perlu mencari sumber lain.

“Namun prinsip kami, tidak menggunakan duit perniagaan lain untuk menampung kandungan. Kami asingkan siap-siap, ada simpanan peribadi, ada simpanan bisnes dan ada simpanan khusus untuk kandungan,” jelasnya.

Mengulas mengenai pandangan bahawa kerjaya TikTok tidak mempunyai masa depan, kedua-duanya menegaskan ia mungkin berpunca daripada kegagalan sesetengah pihak menyusun strategi.

“Bagi kami, perancangan adalah kunci. Jadual kerja telah kami atur sehingga hujung tahun ini. Jika pandai mencatur, kerjaya ini bukan sahaja ada masa depan malah boleh menjadi platform bisnes jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan mereka sebagai duta dan pemegang saham Empire Reka, Syafiq berkata, kerjasama itu benar-benar tidak dijangkakan sementelah kedua-dua mereka tidak pernah menjalankan perniagaan perabot sebelum ini.

“Asalnya kami cuma rebiu kedai di Sungai Petani, Kedah, tapi akhirnya diberi kepercayaan untuk jadi duta dan pemegang saham cawangan di Klang.

“Bagi kami, ia satu benda baru dan ini satu amanah besar, tanggungjawab pun sangat berat. Kami harap boleh bawa dengan baik sebab kebetulan, kami berdua memang jenis suka cabar diri.

“Memang kami bukan dalam ‘line’ pemasaran ini. Malah, bahan kandungan kami pun lebih kepada hiburan. Maka jika diubah kepada pemasaran, memang ambil masa. Tak boleh anggap buat video hari ini, esok terus dapat ‘sales’.

“Disebabkan itu, kami setuju tandatangan kontrak setahun dulu. Tengok macam mana. Kalau okey, kami teruskan,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengapa agaknya mereka dipilih sebagai duta dan pemegang saham, Syafiq tidak menolak kemungkinan pemilik jenama berkenaan suka dengan konsistensi mereka mengemudi bahan kandungan di media sosial.

“Mungkin sebab konsistensi. Dia memang tengok TikTok, nampak kami selalu masuk FYP. Bila dah selalu muncul, orang mula kenal muka. Selain paranormal, kami pernah buat bahan kandungan lain juga. Bezanya kali ini, mereka betul-betul yakin dengan kita.

“Sampai sanggup bagi ‘showroom’ paling besar di Empire Reka. Hasrat kami adalah mahu mendekatkan dan memperkenalkan orang ramai dengan Empire Reka.

“Sebab ramai orang ingat barang Empire Reka semua mahal. Sebenarnya tidak, ada kategori berbeza. Lebih menarik, mereka ada kilang sendiri, bukan ambil barang dari pembekal luar,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN