KUALA LUMPUR: Pelakon, Raja Atiq, menyuarakan pandangan selepas menerima sindiran pedas daripada segelintir pihak yang mempersoalkan kelangsungan kerjaya seninya.
Menurut Raja Atiq, isu seperti ini bukan perkara baharu, malah turut dihadapi ramai pelakon tidak kira sama ada mereka sudah berkahwin, popular atau hanya biasa-biasa sahaja.
“Sebenarnya benda macam ini bukan saya seorang saja hadap, semua orang dalam industri pun sama. Tak kisah kau dah kahwin atau belum, top atau biasa-biasa. Kalau ada pelakon baharu yang kerap muncul di TV, mesti ada yang persoalkan soalan bodoh seperti ini,” katanya.
Selain itu, Raja Atiq mengakui dirinya bukanlah pelakon yang sentiasa menerima tawaran kerja seni.
Namun, katanya, itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkecimpung dalam bidang seni.
“Saya bukan pelakon hebat dengan job ‘back-to-back’, memang tak. Industri ini memang macam ini. Kalau kau minat berlakon, kena bersedia hadap apa sahaja.
“Kadang-kadang tak ada job, produksi pun tak cari kita walaupun kita ada bisnes sendiri. Tapi itu tak bermakna saya dah tak mahu berlakon.
“Adam Corrie sendiri pernah cakap, dia masih boleh buat babak berlawan walaupun umur lebih 50 tahun,”katanya.
Menurutnya, walaupun ramai pelakon sudah berkahwin masih aktif bekerja, namun ada segelintir pihak yang gemar mempersoalkan status seseorang artis apabila jarang muncul di kaca televisyen.
“Kadang-kadang kita sendiri malu nak tanya produksi kalau ada kerja lebih. Tapi pelik juga sebab pelakon yang dah berkahwin ramai saja masih berlakon. Kenapa jadi macam ini?” soalnya.
Tidak cuma itu, pelakon ini turut menegur trend pengambilan pempengaruh sebagai pelakon tanpa melihat kemampuan lakonan mereka terlebih dahulu.
“Saya nak tunjukkan kualiti lakonan, bukan main ambil influencer entah siapa jadi pelakon. Ini bukan soal dengki rezeki orang, tapi demi kualiti filem, drama, telemovie, filem pendek atau apa saja.
“Tak akan tak tengok dulu cara lakonan mereka? Yang paling biadap, dekat set perangai macam musibat. Maaf cakap, kalau kenal atau tidak, harap ubah perangai. Punca mengapa ramai artis veteran turut meluahkan rasa kesal terhadap pelapis baharu industri hiburan, banyak masalah yang kerap berlaku.
“Antaranya kerap bermain telefon, tidak berlatih dialog, ebih suka duduk dalam kereta, tidak menghormati set, tidak memberi salam, tidak bergaul dan gagal menjaga masa (call time). Benda-benda asas macam ini pun tak reti jaga? Macam ini wakil yang tak akan kekal lama dalam industri. Kalau ada peluang untuk ubah, cepatlah ubah,” katanya.
Dalam pada itu, meskipun menerima pelbagai cabaran, Raja Atiq menegaskan bahawa dia tidak akan berhenti berlakon dan tetap berusaha membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Saya tak akan berhenti. Saya nak harumkan nama Malaysia, pergi ke peringkat antarabangsa. Saya tahu saya pun ada kelemahan dan banyak perlu diperbaiki. Insyallah, rezeki Allah tak pernah putus. Amin,”katanya.