PETALING JAYA: Pelakon, Adam Shahz, berpendapat, dunia lakonan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pengikut media sosial.
Adam atau nama penuhnya Nor Shah Azli Abdol Ghani berkata, ini kerana perkara itu seakan merendahkan martabat pelakon yang sudah lama berbakti dalam dunia seni.
“Pengikut di sosial media bukan ukuran sebenar. Kalau pempengaruh, memanglah relevan nak nilai dari segi itu tetapi untuk pelakon yang sudah bertahun-tahun bekerja, rasanya tidak adil.
“Jika benar jumlah pengikut jadi syarat utama, mampukah produksi menawarkan bayaran setimpal untuk mereka yang memiliki ratusan ribu pengikut?”katanya.
Bagaimanapun, Adam mengakui ketika ini kurang menerima tawaran namun dirinya tidak pernah berputus asa.
“Dunia seni memang ada turun naik, namun saya akan tetap berusaha keras dan tidak akan mudah patah asa.” katanya lagi.
Menurut pelakon itu lagi, dia kini bergiat aktif menyertai sesi uji bakat termasuk untuk drama vertikal di aplikasi MuviiGrind.
Baginya,ujibakat lakonan bukan semata-mata soal kerja, tetapi juga peluang untuk membina hubungan baik dengan pihak produksi.
Baru-baru ini, tular video Adam menghadiri sesi casting MuviiGrind, sekali gus mengingatkan kembali isu ketika dia pernah ditolak tawaran berlakon hanya kerana tidak mencapai 500,000 pengikut media sosial.