KUALA LUMPUR: Hasrat murni Dayana Roza mahu menghulurkan bantuan kepada warga Indonesia yang terkesan dengan insiden demonstrasi di negara terbabit melalui pesanan Grab, bagaimanapun bertukar melucukan apabila pelakon itu mengakui begitu terliur melihat juadah makanan yang terdapat di aplikasi tersebut.
Menurut Dayana, melihat seleksi makanan di aplikasi tersebut membuatkannya teringat akan keenakan setiap makanan itu yang pernah dirasainya ketika melancong di Indonesia sebelum ini.
“Anda semua tolong ruqyah saya! Tak habis lagi cuci mata di grabfood Indonesia sambil telan air liur.
“Jom kongsikan makanan kegemaran anda kalau pergi Indonesia,”katanya dalam hantaran di Threads, semalam.
Selain itu, pelakon ini juga berkongsi bahawa dia menggemari makanan-makanan di Bali sambil menunjukkan gambar juadah tempe orek dan usus pedas masam manis.
“Ini pula juadah kegemaran saya sepanjang masa di Bali sejak 2013 sampai sekarang kalau pergi Bali, hari-hari saya boleh makan nasi pedas bu andika.
“Sampai mengandung anak nombor dua saya pergi sana sebab mengidam dan sebab itulah anak kedua saya nama dia Aryan Andika. Aduhhh laparlah teringat.
“Sampai sekarang saya masih scroll grabfood Indonesia ya. Tak dapat rasa dapat tengok gambar, bayangkan dan telan air liur pun cukup lah, sedapnya!”selorohnya.
Perkongsian Dayana itu mendapat komen ramai daripada pelbagai pengikut di Threads dengan ada antaranya hingga mencadangkan makanan terbaik di Indonesia buat pelakon itu.
Terdahulu, Dayana membuat perkongsian mahu membantu warga Indonesia yang terkesan dengan insiden demonstrasi besar-besaran di negara terbabit.
Gerakan itu turut dilakukan oleh ramai pengguna Threads lain yang berkongsi rezeki dengan warga di sana atas dasar empati dan solidariti dengan isu yang berlalu di begara terbabit.
Berikutan tindakan murni rakyat Malaysia itu, ramai kalangan warga Indonesia turut memuat naik hantaran terima kasih dan memuji usaha tersebut yang disifatkan sangat menyentuh hati.
Malah, ia juga membuatkan ramai warga di sana menangis terharu kerana bantuan makanan disalurkan oleh rakyat Malaysia termasuk Thailand dan Singapura.
Gelombang demonstrasi di beberapa bandar besar Indonesia sejak tiga hari lalu memberi kesan ketara terhadap ekonomi negara itu, terutama sektor perkhidmatan.
Jakarta dan kawasan sekitarnya iaitu Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi atau singkatannya Jabodetabek, menyaksikan aktiviti masyarakat lumpuh sama sekali sepanjang tempoh demonstrasi.










