Mariah Carey bakal adakan konsert di hutan Amazon - Utusan Malaysia

Mariah Carey bakal adakan konsert di hutan Amazon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELEM: Diva pop tersohor, Mariah Carey, bakal menggegarkan pentas antarabangsa apabila muncul sebagai bintang utama dalam konsert mega Amazonia Live – Today and Always pada 17 September ini.

Lebih menarik, persembahan itu akan berlangsung di atas pentas terapung di Sungai Guama, Belem, yang terletak di tengah-tengah hutan Amazon.

Konsert tersebut bukan sekadar hiburan, malah bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Acara berprestij itu dianjurkan menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30) yang dijadualkan berlangsung di Belem pada November nanti.

Mariah dijangka membuat kemunculan pada waktu senja, di atas pentas yang diinspirasikan daripada bunga teratai gergasi, Victoria Amazonica, simbol keindahan semula jadi Amazon.

Reka bentuk pentas itu digambarkan sebagai persembahan visual luar biasa yang menggabungkan pesona bintang global dengan keagungan alam.

Selain Mariah, konsert itu turut menampilkan penyanyi tempatan terkenal seperti Dona Onete, Joelma, Gaby Amarantos dan Zaynara, sekali gus mempamerkan kekayaan budaya muzik Brazil kepada dunia.

Menurut penganjur, konsert ini adalah usaha menarik perhatian global terhadap ancaman besar yang dihadapi Hutan Amazon, yang sering digelar sebagai ‘paru-paru dunia’.

Mereka menegaskan perlunya melindungi komuniti pribumi, memulihkan tanah terjejas serta memperluaskan usaha reboisasi bagi mengurangkan pelepasan karbon.

Sebagai tambahan, Amazonia Live turut menganjurkan sebuah lagi konsert percuma pada 20 September di Stadium Mangueirao, Belem, bagi memberi peluang lebih ramai penduduk setempat menikmati persembahan istimewa itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN