Maher Zain puji Malaysia sentiasa bersolidariti demi Palestin - Utusan Malaysia

Maher Zain puji Malaysia sentiasa bersolidariti demi Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi antarabangsa yang popular dengan lagu-lagu ketuhanan, Maher Zain, meluahkan rasa bangga terhadap Malaysia kerana konsisten memperjuangkan hak Palestin dan sentiasa menunjukkan solidariti dalam isu kemanusiaan sejagat.

Menurut Maher, 44, ia membuktikan betapa pentingnya kepimpinan yang berani untuk bersuara menentang penindasan.

“Kita memerlukan lebih banyak negara yang pemimpin dan rakyatnya seperti Malaysia, untuk bangkit menegakkan keadilan serta menentang penindasan di banyak negara, terutama Palestin,” katanya.

Maher berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas konsert Maher Zain The Live Experience di Idea Live Arena di sini, kelmarin.

Selain itu, Maher berkata, muzik juga berperanan sebagai medium berkesan untuk meningkatkan kesedaran, sokongan dan memberi inspirasi kepada masyarakat terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Kita perlu sentiasa menggunakan muzik untuk tujuan baik, meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada orang ramai serta membawa mereka kembali kepada agama indah, Islam. Sudah tentu, ia memainkan peranan yang besar,” katanya.

Sementara itu, Maher berkata, pertemuan ringkas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ehsan, Bandar Kinrara, Puchong pada minggu lalu meninggalkan kesan mendalam kepadanya.

Penyanyi berkenaan mengakui kagum dengan keperibadian Anwar yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sangat merendah diri.

“Kami berjumpa Jumaat tempoh hari sebenarnya. Kami berdoa bersama, Alhamdulillah, ia merupakan sebuah kehormatan bagi saya. Bagi saya, ia satu pengalaman luar biasa apabila kita dapat berjumpa dengan seseorang seperti itu, di kawasan itu, ya, di masjid.

“Dan sangat menakjubkan untuk melihat betapa rendah dirinya beliau, Alhamdulillah,” jelasnya.

Maher berkata demikian merujuk kepada pengalaman manis bersama Anwar menunaikan solat di masjid berkenaan yang disertai kira-kira 1,000 jemaah.

Terdahulu, sekitar 5,000 peminat membanjiri Idea Live Arena bagi menyaksikan persembahan Maher yang kembali ke Malaysia selepas kali terakhir, enam tahun lalu.

Mempersembahkan 19 lagu popular termasuk ‘InsyaAllah,’ ‘For the Rest of My Life’, ‘Medina’ dan ‘Barakallah’ selain lagu terbaharu ‘La Tahzan’, Maher memberikakan satu persembahan menakjubkan buat peminat sekali gus mengubati kerinduan mereka terhadap penyanyi kelahiran Lubnan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN