JAKARTA: Pelakon terkenal Indonesia, Luna Maya, 42, mengakui belum bersedia untuk menimang cahaya mata biarpun suaminya, aktor Maxime Bouttier, sudah tidak sabar untuk bergelar seorang bapa.
Perkara itu didedahkan Luna ketika ditemu bual pengacara Melaney Ricardo dalam rancangan televisyen Update Kehidupan yang bersiaran kelmarin.
“Kalau Max nak jadi ayah cepat tak?” soal Melaney.
“Dia yang paling nak sebenarnya, kalau saya pula masih belum bersedia,” jawab Luna dengan jujur.
Pengakuan itu pantas mengundang reaksi bercampur-baur dalam kalangan peminat di media sosial, khususnya apabila mengingatkan usia pelakon kacukan Indonesia-Austria itu yang sudah melewati 40 tahun.
Sebelum ini, Luna pernah mendedahkan tidak berhasrat untuk hamil tahun ini kerana komitmen kerja yang padat selain mahu menikmati lebih banyak masa berdua bersama suami.
Pasangan itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada Mei lalu dan pulang daripada berbulan madu di Itali.
Namun begitu, Luna mendedahkan, dia telah melakukan pembekuan sel telur (egg freezing) pada 2021.
Kaedah itu membolehkannya menunda kehamilan dan merancang mendapatkan anak menerusi teknologi bayi tabung pada masa hadapan.
“Kalau diberi rezeki, saya tidak menolak. Tetapi jika boleh memilih, tahun ini saya mahu fokus kepada hubungan rumah tangga dan kerja terlebih dahulu kerana masih ada beberapa kontrak yang perlu diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Julai lalu.
Pasangan sama cantik sama padan itu turut mengabadikan detik bulan madu mereka dengan berkeliling Itali, termasuk menaiki kapal persiaran mewah di laut Mediterranean.